Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

Berita KUIS

Bangi, 1 Disember 2021 - Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) meraikan seramai 2,407 graduan dari pelbagai peringkat pengajian yang telah disenaraikan terdiri daripada Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sempena Majlis Konvokesyen kali ke- 23 yang berlangsung mulai 1 hingga 6 Disember 2021 di Pusat Konvensyen KUIS. Ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan dari 1998 hingga 2020 ialah seramai 23,297 orang.

Majlis Konvokesyen kali ke-23 yang sepatutnya dianjurkan pada tahun lalu, terpaksa ditangguhkan kerana penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. Majlis Konvokesyen ini diadakan secara fizikal yang hanya melibatkan graduan sahaja. Justeru, KUIS telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan pelaksanaan majlis ini mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan graduan.

Istimewanya, Majlis Konvokesyen kali ini adalah simbolik sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan KUIS (1995-2020). Untuk makluman, Majlis Konvokesyen ini diadakan sebanyak enam sidang di mana hanya satu sidang sahaja pada setiap hari untuk memberi ruang yang secukupnya bagi proses sanitasi selepas majlis.

Seramai 42 graduan diumumkan sebagai penerima Hadiah Terbaik Program dan Hadiah Terbaik Fakulti. Lapan daripadanya adalah penerima anugerah-anugerah khas seperti berikut:

  1. Seorang penerima anugerah Diraja DYMM Sultan Selangor
  2. Seorang penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor
  3. Tiga penerima Anugerah EXCO Kerajaan Negeri Selangor
  4. Seorang Anugerah Rektor
  5. Seorang Anugerah Kepimpinan Siswa
  6. Seorang penerima Anugerah Kepimpinan Siswi

Fakulti Pengurusan dan Muamalah melahirkan graduan tertinggi iaitu seramai 836 orang, diikuti Fakulti Pengajian Peradaban Islam seramai 815, Fakulti Syariah dan Undang-Undang 371, Fakulti Pendidikan 226 dan 159 dari Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat.

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan di atas usaha keras yang telah graduan berikan sepanjang pengajian. Semoga ianya menjadi dorongan kepada mahasiswa sedia ada untuk lebih berjaya.” – Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.

Komitmen berterusan KUIS dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional Muslim yang mampu menyumbang kepada negara, memimpin masyarakat serta membangun ummah sama ada di lapangan industri mahupun keperluan dari sudut akademik telah menyumbang kepada melahirkan lebih ramai Dai, Ulamak dan Umara’.

KUIS dengan tagline “Peneraju Tradisi Ilmu” sentiasa memastikan penawaran program memenuhi keperluan semasa dan mampu menyumbang kepada seluruh aspek keperluan negara.

Sokongan saudara saudari amatlah diharapkan demi melihat KUIS terus menjadi pilihan utama dan mencapai hasratnya untuk menjadi sebuah Universiti Islam yang terunggul.” - Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah