Staff Portal      Student Portal      kLMS

Berita KUIS

6 April 2021, Bangi : Fakuti Syariah dan Undang-undang, KUIS dengan kerjasama Princess of Naradhiwas Universiti (PNU) dan Institut Agama Islam Negeri Surakarta (IAIN) telah menganjurkan International Conference on Syariah & Law (ICONSYAL 2021) secara dalam talian yang bertemakan “Syariah dan Undang-undang Pemacu Kelestarian Alam Sekitar”.

Seminar ini dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Bin Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air. Sesi ucaptama bermula dari jam 10 sehingga 1 petang telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan bin Basri (Profesor Adjung, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor pelawat, Universiti Selangor (UNISEL) dan Profesor Kehormat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Assoc. Prof. Dr. Ibrahem Narongraksakhet (Pensyarah, Prince of Songkla University, Thailand, Timbalan Presiden & Lembaga Pengarah Fatoni University, Thailand) dan Prof. Dr. Mudofir, M.Pd Rektor, Institut Agama Islam Negeri Surakarta (IAIN), Indonesia. Manakala,ucapan aluan wakil KUIS telah disampaikan oleh YBRS Dr. Zetty Nurzuliana Abd Rashid (Timbalan Dekan Akademik & Pengantarabangsaan) mewakili Dato’ Rektor KUIS. Sesi perasmian dan ucaptama ini dijalankan melalui aplikasi zoom. Pengarah program untuk seminar kali ini adalah Tuan Mohd Isa Bin Mohd Deni, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS.

Seminar bertujuan untuk mempergiatkan usaha dalam memperkasakan budaya ilmu di kalangan kakitangan akademik fakulti secara khusus dan KUIS umumnya bagi menghasilkan penyelidikan, penulisan serta penerbitan bahan ilmiah yang memberikan impak kepada nilai-nilai keilmuan di samping mewujudkan ruang untuk berwacana secara sihat dalam kalangan pakar, ahli-ahli akademik, pembuat dasar, orang awam dan pelajar. Selain daripada itu, pihak fakulti juga berhasrat melalui penganjuran seminar ini akan dapat mengumpulkan sejumlah kertas kerja dan artikel yang menyumbang kepada penetapan beberapa resolusi sebagai input yang berguna kepada pihak berkepentingan dalam menangani cabaran semasa dan permasalahan ummah.

Seminar ini berjaya mengumpul sebanyak 174 pembentang dari kalangan peserta Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam sesi sidang selari melalui google meet. Kertas kerja yang dibentangkan telah diberikan penilaian oleh penilai-penilai yang berkepakaran dalam pemilihan kertas kerja terbaik dan akan diterbitkan.

Jaringan kerjasama ini akan diteruskan dengan penganjuran seminar sebegini setiap dua tahun secara bergilir-gilir di antara ketiga-tiga universiti tersebut.