ms my en gb ar aa
  Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

Berita KUIS

Bangi, 16 April 2022 – YAB Dato Menteri Besar Selangor, Dato Seri Amiruddin Bin Shari hari ini meraikan seramai 250 Perwakilan Mahasiswa Universiti dan Kolej di Selangor dalam Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan di Pusat Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Majlis bersama perwakilan pelajar ini dianjurkan bagi mewujudkan jaringan kerjasama di antara kerajaan negeri Selangor dengan pimpinan mahasiswa IPT di seluruh negeri ini. Program ini juga berhasrat memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai inisiatif – inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri khususnya kepada mahasiswa.

Sementara itu, satu program khas Majlis Pelancaran Bandar Ilmu Putra Mahkota berjaya dilancarkan bersama hari ini bagi mewujudkan satu hubungan yang baik serta merealisasikan hasrat bahawa kerajaan negeri komited dalam memastikan gugusan pendidikan bagi kawasan radius 5-10 kilometer dari KUIS melalui program Bandar Ilmu dapat mencapai objektif dan memberi manfaat sebaiknya kepada komuniti, mahasiswa, kampung, bandar, sekolah dan pimpinan setempat.

Program Bandar Ilmu Putra Mahkota merupakan cetusan daripada Pembangunan Pelan Tindakan Gugusan Pendidikan Negeri Selangor bagi mewujudkan satu model Bandar Ilmu di persekitaran 5 hingga 10 km radius dari KUIS. Berhasrat menjadikan Universiti Boston dan Universiti Oxford sebagai contoh, KUIS berperanan menjadi pusat ilmu kepada semua pemegang taruh dalam aktiviti berkaitan dengan ilmu dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang bersesuaian. Bandar Ilmu dijangka berkembang pesat dan maju dari segi kerohanian, ekonomi, sosial, sains teknologi dan alam sekitar, hasil daripada program dan aktiviti, inovasi dan perkembangan ilmu di bandar ini.

Keseluruhan, majlis ini dihadiri seramai 500 orang tetamu yang terdiri daripada pegawai tertinggi kerajaan negeri Selangor, ketua-ketua jabatan SUK Selangor, barisan pengurusan KUIS, jawatankuasa dan ketua-ketua komuniti gugusan Bandar Ilmu Putra Mahkota serta wakil-wakil Majlis Perwakilan Pelajar Universiti dan Kolej di Selangor.

Majlis turut menyaksikan penyerahan mock-cheque berjumlah RM150,000.00 sumbangan QSR Brands (M) Holdings Bhd kepada KUIS bagi manfaat pelajar asnaf KUIS, sekolah dan penduduk sekitar Bandar Ilmu Putra Mahkota. QSR Brands turut bermurah hati memberi sumbangan ‘Bakul Kasih Ramadan’ kepada wakil-wakil komuniti Gugusan Bandar Ilmu Putra Mahkota.

YAB. Dato Seri Amiruddin serta semua tetamu menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah diikuti jamuan moreh di Masjid Al-Azhar KUIS.

Berita KUIS 2022