banner
 
apply

Utama arrow Jadual Waktu Diploma Perguruan (Separuh Masa)


perbendaharaan
Sultan Selangor lancar tafsir Perbendaharaan al-Quran edisi pertama KUIS sempena malam Nuzul Quran


Kitab tafsir Perbendaharaan Al-Quran terbitan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), disempurnakan pelancarannya oleh DYMM Sultan Selangor, di masjid As-Salam, Puchong Perdana, Petaling pada 16 September lalu, bersempena majlis sambutan Nuzul Quran dan berbuka puasa.

Perbendaharaan Al-Quran edisi pertama mengupas secara terperinci surah al-Fatihah, di samping membicarakan pengenalan kitab suci al-Quran, ilmu tafsir  dan  kaedah  penulisan  tafsir.  Ia  mengandungi
255 halaman dengan disulami ilustrasi gambar-gambar menarik pada halaman tertentu bagi menggambarkan keagungan penciptaan Tuhan yang dinukilkan melalui ayat-ayat suci al-Quran. Projek penulisan Perbendaharaan al-Quran ini dhasilkan dengan sokongan padu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan ditaja oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Turut hadir di majlis pelancaran tafsir Perbendaharaan al-Quran dan berbuka puasa itu ialah Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohd Adzib Haji Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Ramli Mahmud, Orang Besar Daerah dan Ketua-Ketua Jabatan di negeri Selangor.

Lembaga Penyelidikan dan Penulisan Perbendaharaan al-Quran dipengerusikan oleh Rektor KUIS, Dato’ Haji Mohd Adanan Islam manakala Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Haji Sulaiman Ibrahim el-Barruhiy bertindak selaku Ketua Penyelidik dan Penulis karya tafsir ini.

Projek penerbitan Perbendaharaan al-Quran itu telah mendapat perkenan restu DYMM Sultan Selangor yang memberi izin kepada MAIS dan KUIS. Projek yang menelan belanja RM2.3 juta itu akan mengambil masa lima tahun bagi menafsirkan 30 juzuk kandungan al-Quran yang sekali gus menambah koleksi kitab tafsir dalam bahasa Melayu.

Dalam prakata penerbitan ini, Mufti Selangor, Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Haji Abdul Wahid berkata, penerbitan karya tafsir dalam bahasa Melayu itu akan membantu umat Islam di Malaysia yang kurang berkemampuan memahami bahasa Arab memahami isi kandungannya dengan jelas dan mudah.

“Sayugia al-Quran ini dihayati dan dipraktikkan setiap isi kandungannya secara total kerana ia terbukti sesuai dan menepati keperluan umat manusia sepanjang zaman bagi menegakkan keadilan, kesejahteraan, kedamaian dan ciri-ciri universal sebagai ramat kepada sekalian alam,” katanya.

Kitab tafsir Perbendaharaan al-Quran akan diwakafkan kepada masjid-masjid di seluruh Selangor. Segala pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Pembangunan Korporat dan Pengantarabangsaan KUIS di talian 03-89254251 sambungan 1122 atau e-mel
<< Start < Previous 1 2 Next > End >>