Staff Portal      Student Portal      kLMS

Solat di Masjid dan Surau Semasa Pandemik

pm dr farid 3

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuan-tuan yang saya kasihi sekalian.

Saya fikir kita harus sama-sama faham SOP pengurusan solat fardu dan jumaat di Masjid dan Surau di negeri Selangor adalah berpandukan kepada alasan-alasan syariah yang tuntas demi kemaslahatan bersama. Ini bukan isu "siapa yang lebih takut Allah", ini isu menyelamatkan nyawa manusia. Kita harus sama-sama berganding bahu dan berkerjasama dalam memutuskan rangkaian wabak yang semakin tidak terkawal dan lebih bahaya. Kita juga baca saban hari peningkatan jumlah kematian yang berpunca dari wabak ini. Usaha MAIS dan JAIS adalah lebih kepada berusaha kemudian tawakkal. Saudara, Masjid dan Surau dibina di Negeri Selangor adalah bukti kita komited dalam menjaga syiar agama Islam di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, untuk sementara ini kita sama-sama patuh kepada arahan dan pekeliling JAIS bagi menjaga nyawa adik-beradik dan sanak-saudara kita.

Kami di agensi agama di negeri ini faham akan dalil berkaitan dengan kewajipan solat jumaat, tuntutan solat berjemaah, dalil pengimarahan dan lain-lain dalil berkaitan dengan pengimarahan masjid. Namun semua dalil-dalil berkaitan harus difahami dengan situasi semasa, ini kerana perubahan hukum berdasarkan perubahan keadaan dan zaman.

Ada beberapa Kaedah Fiqhiyyah yang perlu difahami bersama dalam mendepani wabak covid 19; antaranya ialah:

  1. سد الذ ريعة
    Kaedah ini merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudaratan. Menghadkan jumlah jemaah adalah bagi tujuan menutup ruang penularan.

  2. إذا تعارض المانع والمقتضى قدم المانع
    Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang mengkehendaki hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Kaedah ini membantu kita faham bagi mendahulukan dalil-dalil menegah kerana tegahan itu adalah bagi memastikan keselamatan umum untuk mengelak lebih banyak mudarat ke atas orang awam.

  3. المصلحة العامة تقدم على المصلحة الخاصة
    Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan dari maslahah khas. Dalam suasana hari ini kita tidak pasti siapakah pembawa wabak itu, sebab varian baharu sukar untuk dikenal pasti. Kita tidak tahu siapa yang akan menerima padah dari wabak ini. Ada kebarangkalian orang yang membawa wabak memiliki antibodi yg lebih kuat berbanding dengan jemaah lain yang mungkin ada komplikasi kesihatan yang lain.

  4. تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
    Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Ini adalah tanggungjawab pemerintah bagi memastikan nyawa rakyat dijaga.

Kesemua kaedah di atas adalah jelas memenuhi maqasid syariah, iaitu:

  1. Memelihara agama,

  2. Memelihara nyawa,

  3. Memelihara keturunan,

  4. Memelihara harta,

  5. Memelihara akal.

Usaha JAIS dalam pelaksanaan SOP baharu masjid dan surau adalah atas dasar perintah Agama, ini bukan pandangan individu bahkan pandangan dari Mufti dan pandangan dari ahli agama dengan mengambil kira dari KKM dan MKN.

 

PM Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah
Pengerusi JK Dakwah dan NGO MAIS