Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

Perutusan Rektor

Assalamualaikum wrt. wbth.

Apa khabar semua warga KUIS? Saya doakan semoga kita terus bersemangat dan kuat bersama ahli keluarga dalam mengharungi PKP yang bermula selama dua minggu sejak 13 Januari 2021 lalu. Sebagaimana yang diumumkan, tujuan utama PKP ialah untuk memutuskan rangkaian COVID19 yang sedang kian menular dalam masyarakat Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Sehingga jam 7.30 pagi ini jumlah jangkitan COVID19 di seluruh dunia adalah 93,455,349 orang dengan jumlah kematian seramai 2,000,368. Satu jumlah yang sangat membimbangkan dan di Malaysia pula telah meningkat kepada angka 147,855 orang. Kita perlu bersama-sama dengan semua pihak untuk melandaikan jumlah jangkitan dengan duduk di rumah, mengurangkan pergerakan keluar masuk kecuali untuk mendapat barang keperluan dan menguruskan kes kecemasan.

Sekarang ini, kita semua sedang bekerja dari rumah (BDR) yang merupakan satu norma baharu semasa pandemik COVID19. Ia bukan satu tugas yang mudah untuk kita hadapi dan lakukan. Hakikatnya, bekerja dari rumah (BDR) memang sangat mencabar kerana pada masa yang sama kita perlu memantau anak-anak belajar, menguruskan rumah tangga dan anak-anak kecil, memasak, mengemas rumah, jumlah ahli keluarga yang bertambah, ruangan sempit untuk bertugas dan belajar, kekurangan peranti dan komputer dan capaian internet yang terhad.

Inshaa Allah, yakinlah yang kita semua mampu menghadapi dan mendepani segala cabaran dengan sebaiknya. Kita cuba seimbangkan antara keperluan bekerja dengan keperluan keluarga kita.

Kita mampu melaksanakan sebaiknya dan pastikan untuk sentiasa memohon dan memunajat pada Allah swt bagi dipermudahkan semua urusan yang kita lakukan setiap hari.

STAY SAFE, STAY HOME

Ab. Halim Tamuri
Rektor KUIS
Bandar Baru Bangi,
15 Januari 2021, 7.30 pagi