Staff Portal      MyPortal      kLMS      COVID-19

Perutusan Rektor

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Apa khabar semua warga KUIS yang dikasihi? Saya sentiasa mendoakan agar kita semua dan ahli keluarga sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah swt dari segala keburukan khususnya Covid-19. Hari ini bermulanya Fasa 1 PKP 3.0 sehingga 14 Jun 2021. Bersabarlah atas dugaan yang sedang kita lalui dan ini merupakan satu sejarah dalam kehidupan yang pasti kita tidak akan dapat lupakan. Dalam tempoh ini, KUIS ditutup kecuali beberapa bahagian penting yang diberi kebenaran khas dan kita melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) sebagaimana yang dijelaskan oleh Pejabat Pendaftar sebelum ini. Untuk pelajar-pelajar pula, polisi pembelajaran atas talian sedia ada masih berkuatkuasa sehinggalah satu arahan baharu yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Segala makluman dan perubahan akan dikemaskini dengan segera melalui portal rasmi dan saluran media sosial rasmi KUIS.

Kita sedang melalui satu fasa yang kritikal dalam memerangi pandemik Covid-19 ini dan kita perlu mematuhi segala arahan dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak KKM dan MKN. Kita perlu STAY AT HOME dan tidak perlu untuk keluar rumah jika tiada keperluan yang mendesak. Kita mesti memastikan keselamatan ahli keluarga dan rumah kita adalah tempat perlindungan yang paling selamat untuk mereka semua. Bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak yang masih belajar, keadaan sekarang ini memang sangat mencabar. Dalam satu-satu masa, khususnya diwaktu pagi, ada yang perlu menguruskan rumah tangga, memantau PdPR anak-anak dan melaksanakan tanggungjawab dan tugas kita sendiri. InsyaAllah, kita dapat laksanakan dengan sebaiknya dan uruskanlah masa yang ada dengan penuh kebijaksanaan.

Kita perlu menerima realiti bahawa ketika ini kita berada dalam satu keadaan yang sangat sukar disebabkan pandemik Covid-19. Namun, kita hendaklah menghadapi keadaan ini dengan sebaiknya kerana situasi ini memang diluar jangkaan pemikiran. Tidak dapat tidak, ada kebiasaan-kebiasaan yang perlu dilupakan seketika (saya sendiri pun terkesan) seperti lepak dengan keluarga dan rakan-rakan sambil pekena teh tarik, teh cutting, nasi lemak bungkus, nasi kerabu, nasi kukus ayam goreng kampung, mee goreng mamak, roti canai, roti telur, roti tampal, tom yam, nasi arab, McD, A&W, KFC dan sebagainya yang sebelum ini menjadi rutin harian kita. Kini, jom duduk rumah lakukan segala-galanya bersama ahli keluarga kita dan gunalah masa ini untuk merapatkan hubungan kekeluargaan yang mungkin selama ini ada juga sedikit terabai disebabkan kesibukan dan kealpaan kerana tugas-tugas kita.

Satu PROGRAM MUNAJAT PERDANA KUIS (bacaan Yassin dan Solat Hajat) akan diadakan bermula selepas waktu Maghrib pada hari Khamis 3 Jun 2021 (Khamis malam Jumaat) di rumah masing-masing bersama seluruh ahli keluarga. Kita memohon kepada Allah swt agar pandemik Covid-19 segera berakhir, kita semua dijauhi dari segala keburukan dan KUIS sentiasa diberkati dan dimurahkan rezeki

Jangan lupa, sila pastikan juga kita dan ahli keluarga mendaftar dalam Program Vaksinasi Nasional yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia. Pesan saya kepada semua, STAY AT HOME, STAY SAFE.

Terima kasih.

AB. HALIM BIN TAMURI
Bandar Baru Bangi,
8.24 am 1 Jun 2021
#staysafe #dudukdirumah