Staff Portal      MyPortal      kLMS

Berita KUIS

16 Julai 2021 - Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkesempatan mengatur pertemuan antara mantan Rektor, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri bersama pengurusan tertinggi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) secara virtual hari ini.

Dalam ucapan beliau sangat berharap, agar KUIS akan terus maju melahirkan dai, ulamak dan umarak dan terus berusaha melahirkan lebih ramai graduan yang berkaliber dalam semua bidang pengajian. Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada MAIS terutama barisan pengurusan kerana telah banyak membantu dan memberi nasihat sepanjang khidmat beliau di KUIS.

Sementara itu, Pengerusi MAIS, YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof menyampaikan rasa terharu dan bersyukur kerana dijemput untuk sama-sama berada di majlis ini. Walaupun ianya dibuat secara maya, namun usaha ini sangat dihargai.

“Sepanjang saya berkhidmat, inilah pertama kali saya meraikan majlis perpisahan secara dalam talian. Biasanya jika majlis yang melibatkan orang-orang utama ini, akan diraikan di hotel dengan jamuan yang sedap-sedap, tetapi apakan daya, kerana kita masih diganggu oleh wabak Covid-19,” kata beliau.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada mantan Rektor di atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan kepada KUIS sepanjang tempoh berkhidmat dari Julai 2013 hingga Jun 2021.

Diakhir pertemuan, penganjur sempat memainkan video montaj kenangan sebagai halwa mata dalam mengimbau kenangan melalui program-program lalu yang pernah disertai terutama program KUIS-MAIS. Sebagai tambahan, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri telah kembali menyambung perkhidmatan beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 1 Julai 2021 lalu.