Disediakan oleh :
Jawatankuasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018

BANDAR BARU BANGI, 17 APRIL: Seramai 81 orang pegawai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah diraikan di dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KUIS bagi tahun 2018. Pengurusan KUIS telah berbesar hati menyampaikan 7 anugerah kepada pegawai KUIS iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Khidmat Emas (AKE), Anugerah Khidmat Setia (AKS), Anugerah Hadiah PhD, Anugerah Hadiah Sarjana, Anugerah Jasamu Dikenang serta Anugerah Fakulti dan Bahagian Terbaik.

Majlis APC 2018 menyaksikan Pusat Matrikulasi dan Bahagian Pengurusan Akademik dinobatkan sebagai penerima Anugerah Fakulti dan Bahagian Terbaik bagi tahun 2018.

Rektor KUIS, Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri, berkata pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada anggota yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang tetapi anugerah ini merupakan satu langkah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan di KUIS.

Rektor turut mengingatkan warga KUIS bahawa menjelang tahun 2020, KUIS akan menjangkau usia 25 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1995. Selaras dengan itu, seluruh warga KUIS disaran untuk memberi sepenuh fokus kepada agenda pembangunan KUIS selari dengan Pelan Strategik KUIS Fasa II (2019-2023) yang telah dilancarkan pada bulan Januari 2019. Dalam konteks kerja berpasukan, KUIS perlu mencari pelapis untuk memastikan pasukan (team) KUIS mampu bertahan mengharungi cabaran pada masa hadapan. Perkara yang paling penting adalah bagaimana meneruskan kelangsungan (sustainability) KUIS sebagai sebuah IPT yang terbaik dan menjadi pilihan pelajar serta ibubapa.

Dalam ucapannya Rektor turut menyeru semua warga kerja KUIS agar setiap hari berdoa semoga KUIS diberi kesejahteraan dan dipermudahkan segala urusan. Sebarang usaha dan ikhtiar perlu dilaksanakan tetapi segala pergantungan hanyalah kepada Allah swt.

Beliau berkata demikian sempena ucapan perasmian Majlis APC KUIS 2018 yang diadakan di Hotel Bangi Resort, Bandar Baru Bangi, pada tahun ini.

Hadir sama, semua barisan Pengurusan KUIS, Dekan, Pengarah, Timbalan Dekan, Timbalan Pengarah, Ketua Jabatan, Ketua Program serta Ketua Bahagian bagi meraikan pegawai yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan menyumbang khidmat bakti kepada KUIS sepanjang tahun 2018.

apc 2018 07apc 2018 01apc 2018 04apc 2018 05apc 2018 06