KISDAR : SATU WARISAN UMMAH

Di dalam kertas kerja asal penubuhannya, KISDAR dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ehsan. Kertas konsep penubuhan KISDAR disediakan oleh Haji Mohd. Adanan Isman, ketika itu Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas pengumuman penubuhannya dicetuskan oleh Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib sempena majlis Konvokesyen Asas Perguruan JAIS pada 28 Januari 1995, di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Menurut Haji Mohd. Adanan, beliau dan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri Selangor, Dato’ Abu Bakar Hamid telah melawat ke Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu, sebelum penubuhan KISDAR untuk mempelajari pengalaman institusi berkenaan di dalam menggendalikan sebuah kolej yang menawarkan program-program di peringkat diploma.

Apabila ditubuhkan seramai 60 rang pelajar kumpulan pertama telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program Diploma Pengajian Islam mulai Jun 1995 di bawah Sekolah Pengajian Islam, Kolej INPENS, sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh Yayasan Selangor. Pada 1 Disember 1996, KISDAR mula beroperasi sepenuhnya sebagai syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selepas menerima kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia.

KISDAR kemudian menumpang di bangunan Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) di Seksyen 11, Shah Alam untuk tempoh kira-kira empat tahun (1996-2000), sebelum berpindah ke kampus tetap seluas 104 hektar di kawasan Bangi Lama, Kajang. Pada 29 Mei 2002, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengisytiharkan perasmian kampus KISDAR .

  DARI KISDAR KE KUIS : PERJALANAN BELUM BERAKHIR

Tanggal 22 Oktober 2004 bersamaan 8 Ramadan 1425H merupakan tarikh bersejarah kepada KISDAR. Pada tarikh tersebut, KISDAR secara rasmi telah dipelawa untuk dinaik taraf sebagai sebuah Kolej Universiti dalam satu majlis rasmi di Hotel J.W. Marriot, Putrajaya. Dalam berkat dan suasana bulan Ramadan yang mulia itulah, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Syafie Salleh yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak menganugerahkan KISDAR sijil pelawaan naik taraf sebagai Kolej Universiti.

Bermula 31 Disember 2004, nama KISDAR secara rasmi diperakukan sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Perubahan kepada sebuah Kolej Universiti itu mempunyai kesan psikologi terhadap warga kolej kerana institusi telah berganjak setapak ke depan sebagai sebuah Kolej Universiti.

  PERTAMA

Perubahan itu membolehkan KUIS menawarkan pengajian di peringkat ijazah pertama atau bachelor hinggalah ke peringkat pasca-siswazah pada masa depan.

  KEDUA

Ia adalah satu bentuk nilai-tambah kepada institusi terutama dalam konteks meningkatkan nilai komersil dan nilai korporat KUIS sebagai sebuah IPTS. Ia mungkin boleh dilihat dengan pertambahan kemasukan pelajar kerana keyakinan pelajar dan ibu bapa terhadap institusi yang semakin meningkat.

  KETIGA

Kemampuan KUIS untuk keluar daripada kepompong sebuah kolej menjadi sebuah Kolej Universiti membuktikan integriti, kewibawaan dan kejituan sebuah pusat pengajian tinggi berasaskan Islam untuk bergerak maju menghadapi persaingan dan cabaran yang lebih kompetititf. Di tengah-tengah asakan dan pukulan terhadap Islam yang dianggap sebagai ajaran yang menganjurkan keganasan, melampau, agama untuk puak teroris atau pengganas, KUIS diiktiraf untuk mengembangkan potensinya ke arah sebuah institusi yang progresif, maju dan menganjurkan kesederhanaan kepada umatnya tetapi cemerlang dari sudut pencapaian ilmu dan teknologi.

  KEEMPAT

Kebolehpercayaan dan keyakinan stakeholders, masyarakat umum (ibu bapa, alumni dan pelajar) terhadap KUIS untuk berkembang dengan lebih maju dan pesat. Betapa KUIS boleh pergi lebih jauh dalam persaingan di persada pendidikan negara malah melepasi ke peringkat Antarabangsa.

Sesungguhnya Institusi Pengajian Tinggi seperti KUIS sedang menggalas satu misi, satu agenda, satu tanggungjawabdan satu amanah yang sangat besar, tugas dan urusan keilmuan. Mendidik, mengajar dan menyampaikannya kepada seluruh ummah demi masa depan yang lebih berjaya, berkualiti dan cemerlang.