cokmar


Cokmar seberat 7kg mula diperlihatkan pada Istiadat Konvokesyen KUIS yang keenam sebagai simbol perisytiharan penganugerahan diploma. Setiap lambang yang diukir mempunyai makna tersendiri bagi menggambarkan keseluruhan komitmen dan inspirasi penubuhan KUIS sebagai pusat kecemerlangan ilmu.

Bulan sabit membawa maksud perkembangan dan kemajuan Islam di negeri Selangor manakala pelbagai cabang yang berpusat di tengah melambangkan kesepaduan ilmu. Bentuk kubah di bahagian atas cokmar merupakan simbolik agama Islam sebagai agama rasmi Negeri Selangor. Sembilan (9) Ukiran Bunga Tanjung menunjukkan sembilan (9) daerah di negeri Selangor yang telah mengamanahkan KUIS sebagai pemangkin masyarakat madani pada masa hadapan.

Sementara itu, ukiran Mercu Tanda, Bunga Anggerik dan Logo Kerajaan Negeri Selangor melambangkan hubungan baik dan sokongan penuh kerajaan Negeri Selangor kepada pembangunan dan kemajuan KUIS.