Disediakan oleh :
Pejabat Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan & Pengantarabangsaan)

Bandar Seri Putra, 26 Mei 2017- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) mengorak langkah pro aktif dengan memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR)  bersempena majlis perutusan Ramadhan Rektor KUIS bersama 300 orang kakitangannya dan turut disertai oleh Pengurusan Tertinggi KUIS.

Majlis menandatangani ikrar &  bacaan Ikrar Bebas Rasuah telah diketuai oleh Rektor KUIS, Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan disaksikan oleh YBhg Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Tuan Amir Hamzah Idris, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM, Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkifli bin Hj Abd Hamid dan Timbalan Rektor Pembangunan Mahasiswa & Alumni, Dr Mohamad Syukri Abdul Rahman.

Di dalam ucapannya, Rektor KUIS  menyatakan  “kerjasama antara KUIS dan SPRM terjalin semenjak tahun 2015 melalui penganjuran beberapa program dan penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) di kalangan mahasiswa KUIS. Sebelum ini KUIS merupakan IPTS pertama menyambut baik ikrar integriti korporat ( corporate integrity pledge) dan kini disusuli pula dengan ikrar bebas rasuah (corruption free pledge).

Pengarah SPRM Selangor pula menyambut baik usaha KUIS sebagai IPTS pertama di Selangor yang sentiasa menyokong usaha SPRM, “Beliau turut mengingatkan agar seluruh warga kerja KUIS sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh  integriti dan menolak sebarang unsur rasuah”.

Terdapat kes-kes yang melibatkan institusi Islam dan ini perlu diambil iktibar oleh KUIS kerana rasuah boleh berlaku dimana-mana sahaja. Sentiasalah mengamalkan konsep 3J iaitu Jangan Hulur, Jangan Kawtim & Jangan Settle,” katanya.

Usaha-usaha ke arah melahirkan generasi KUIS yang membenci rasuah dan berintegriti akan sentiasa diutamakan dalam pentadbiran KUIS.

‘Katakan Tidak Pada Rasuah”.

sprm 1   sprm 2
sprm 3   sprm 4