Disediakan oleh :
Sharifah Nor Fatin binti Syed Ramli

KUALA LUMPUR: Pada 28 Februari 2019, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) telah disaksikan oleh YBhg. Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) bersempena dengan Program KPBKL bersama Guru Bimbingan & Kaunseling Wilayah Persekutuan & Selangor. KUIS diwakili oleh Rektornya, Profesor Dato’ Dr Ab Halim bin Tamuri dan disaksikan oleh Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan & Pengantarabangsaan), Dr Zulkifli bin Abd Hamid. Manakala KPBKL diwakili oleh En Sakaria bin Semela, Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL dan Puan Rokiah binti Yunus, Pendaftar KPBKL.

Dengan termeterainya MoU ini, KUIS dan KPBKL bersetuju menjalinkan kerjasama dalam beberapa bidang dan memberikan peluang dan kemudahan kepada tenaga pelajar, alumni serta pelajar KPBKL untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di KUIS seperti Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. MoU ini juga melibatkan perkongsian fasiliti KUIS iaitu penggunaan Perpustakaan Imam Al-Syafi'i KUIS kepada staf dan pelajar KPBKL agar dapat menggunakan bahan rujukan di perpustakaan tersebut untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Dari segi akademik pula pemindahan kredit oleh pelajar KPBKL yang menyambung pengajian ke KUIS dan kolaborasi kepakaran pensyarah kedua-dua institusi di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), program-program pendidikan, bengkel dan program latihan di antara kedua-dua institusi.

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah KPBKL Tan Sri Dato’ Setia Ibrahim bin Lembut dan Prof Dato’ Dr. Noor Inayah binti Yaakub, Dato’ Haji Razali bin Haji Shahabudin, Pengerusi Lembaga Pengarah Ipb Sdn Bhd, dan En Zulhizzam bin Hamzah selaku Pendaftar KUIS.

kpbkl 01kpbkl 02kpbkl 04kpbkl 03