Disediakan oleh :
Raja Nor Ashikin Raja Ramli & Surianom Miskam

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi tempoh 2 tahun mulai 27 Jun 2019. Melalui MoU ini PGSM akan bertindak sebagai pusat rujukan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan guaman Syar’ie di Malaysia di samping penempatan pelajar KUIS dalam latihan industri, latihan dalam kamar dan lain-lain lagi. KUIS dan PGSM juga akan meneroka peluang kerjasama dalam bidang penerbitan dan penyelidikan berkaitan isu-isu terkini melibatkan undang-undang kekeluargaan Islam.

MoU ini juga mensasarkan penglibatan ahli PGSM dalam sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar Sarjana Muda Syariah dengan Undang-Undang dan Diploma Syariah dan Perundangan Islam yang ditawarkan oleh Fakulti Syariah dan Undang-Undang KUIS di samping khidmat nasihat dalam proses penggubalan program baru dan pemurnian kurikulum program sedia ada. Kepakaran dan pengalaman para peguam Syar’ie ini amat diperlukan bagi memastikan kurikulum program-program yang ditawarkan oleh KUIS memenuhi kehendak dan keperluan industri di Malaysia.

MoU ini merupakan kesinambungan daripada MoU yang telah ditandatangani pada tahun 2016. Melalui Klinik Rundingcara Guaman Syariah dan Undang-undang yang beroperasi di KUIS pada setiap hari Jumaat minggu pertama dan ketiga setiap bulan, PGSM akan melantik peguam Syarie untuk memberikan khidmat rundingcara kepada warga KUIS dan orang awam yang memerlukan khidmat nasihat guaman berkaitan kes-kes Mahkamah Syariah seperti perceraian, hadhanah, fasakh, faraid dan lain-lain.

KUIS yang diwakili oleh Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan dan Pengantarabangsaan), Dr. Zulkifli bin Haji Abd Hamid dan disaksikan oleh Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang KUIS, Dr. Mohd Musa bin Sarip, manakala PGSM diwakili oleh Presidennya iaitu Tuan Musa bin Awang dan disaksikan oleh Tuan Mohd Ridhwan Husin.

Dalam ucapannya Dr Zulkifli berkata “Pada tahun 2018, seramai 38 orang klien telah mendapatkan khidmat nasihat hasil daripada klinik rundingcara yang dijalankan. Manakala sehingga Jun 2019, seramai 32 orang klien telah mendapatkan perkhidmatan ini dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat untuk bulan-bulan seterusnya. Sepanjang operasinya, Klinik Rundingcara Guaman Syariah dan Undang-Undang KUIS ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga KUIS dan orang awam”.

Tuan Musa bin Awang pula berkata “PGSM turut membantu menubuhkan Firma Guaman Mut yang bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengetahui persekitaran melalui simulasi pejabat firma guaman sebagai tempat perkongsian ilmu dan pengalaman sebelum menceburkan diri dalam bidang tersebut setelah tamat bergraduan”.

Majlis turut dihadiri oleh pengurusan KUIS, Dekan dan Pengarah, wakil persatuan pelajar dan tetamu luar. Majlis diakhiri dengan lawatan ringkas ke Klinik Hukum dan Firma Guaman Mut Fakulti Syariah dan Undang-Undang.

mou kuis pgsm 01mou kuis pgsm 02mou kuis pgsm 03mou kuis pgsm 04mou kuis pgsm 05