1. Untuk makluman pelajar, kaedah penentuan struktur yuran pengajian kebanyakan universiti di Malaysia adalah seperti berikut:

    1. Kaedah Flat Rate (Sama Rata) Setiap Semester

      Bagi kaedah flat rate (sama rata) ditentukan melalui Kos Keseluruhan Yuran Pengajian dibahagikan dengan bilangan semester pengajian termasuk semester Latihan Industri.

    2. Kaedah Caj Per Jam Kredit (Darab Kadar Yuran Per Jam Kredit)

      Bagi caj per jam kredit, caj ditentukan bagi setiap semester adalah jam kredit per semester didarabkan dengan kadar yuran per jam kredit sahaja.

      Jika dilihat, yuran yang dikenakan dengan kaedah mengikut jam kredit adalah lebih rendah daripada kaedah flat rate.

    KUIS menggunakan kaedah caj per jam kredit bagi penentuan struktur yuran pengajian per semester iaitu RM225 per jam kredit bagi pelajar yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda. Caj per jam kredit ini telah ditetapkan dari tahun 2007 dan caj ini tidak pernah dinaikan sehingga kini. Maka caj yang dikenakan kepada pelajar adalah berbeza mengikut keperluan jam kredit latihan industri berdasarkan landskap program pengajian masing-masing.

  2. Untuk makluman pelajar, KUIS sebagai sebuah IPTS yang menawarkan program yang mendapat akreditasi penuh dan akreditasi sementara dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) adalah tertakluk kepada standard program, pekeliling, garis panduan, polisi dan peraturan yang dikeluarkan MQA dan juga tertakluk pekeliling, garis panduan, arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, Malaysia (KPT). Segala caj yang dikenakan telah diluluskan oleh KPT.

  3. Oleh itu, pengiraan asas jumlah jam kredit Latihan Industri adalah mengikut standard pengajian program oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu 1 jam kredit adalah sama dengan dua (2) minggu latihan industri. Walau bagaimanapun jumlah nilai kredit adalah tertakluk kepada perubahan standard program yang dikeluarkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang perlu dipatuhi mengikut standard bidang dari semasa ke semasa.

  4. Jika membuat perbandingan yuran pengajian antara IPTS yang lain, caj yuran pengajian keseluruhan yang dikenakan di KUIS adalah pada kadar berpatutan.

  5. Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain sama ada awam atau swasta mengenakan Yuran Latihan Industri yang sama dengan kadar yuran pengajian di semester di mana latihan industri tidak dijalankan. Yuran di semester yang tiada latihan industri adalah sama dengan kadar yuran di semester Latihan Industri.

  6. Walaupun seseorang pelajar itu sedang menjalani latihan industri dalam satu semester penuh, kemudahan seperti perpustakaan, perubatan pelajar, aktiviti pelajar, tabung infaq dan perlindungan takaful tetap disediakan kepada pelajar di KUIS. Sehubungan itu, semua pelajar yang mendaftar dan aktif tetap dikenakan yuran-yuran tersebut.

  7. Isu berkaitan Latihan Industri (LI) ini juga telah dijawab oleh MQA dalam sesi dialog MQA bersama Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT). Dalam dialog ini, PPT telah memohon agar LI tidak dikira sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan tidak dikira dalam sistem semester. Berikut adalah penjelasan MQA berkaitan dengan isu Latihan Industri.

    1. LI wajib diikuti oleh pelajar dalam mana-mana program (sijil, diploma dan ijazah sarjana muda) sebagai syarat sebelum pelajar bergraduat;

    2. LI adalah sebahagian aktiviti pengajaran dan pembelajaran program yang menyumbang kepada jam pembelajaran pelajar yang membawa kepada nilai kredit;

    3. LI adalah salah satu komponen kurikulum program dan mesti ditawarkan dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi satu tahun pengajian;

    4. Tempoh dan kredit LI adalah berdasarkan standard program dan keperluan badan profesional.

  8. Oleh demikian, jumlah kos LI merupakan sebahagian daripada keseluruhan yuran pengajian seperti mana yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan ianya telah dinyatakan dalam hebahan laman sesawang KUIS sebelum pelajar mendaftar dan mengikuti program pengajian di KUIS.