Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan di bawah akta IPTS 1996. Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen kerajaan negeri Selangor dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu. Sebagai sebuah legasi pendidikan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa dipelihara dan disantuni menjadi pemangkin tradisi ilmu dan penyatuan umat Islam di negeri Selangor, KUIS  berusaha melahirkan Da’i, Ulama dan Umara.

Berpaksikan motto  “Pemangkin Tradisi  Ilmu”, serta keindahan kampus yang bercirikan senibina sejarah kegemilangan  Islam Andalusia, KUIS  telah  bergerak bersandarkan visi dan misi mendepani segala cabaran serta perubahan secara agresif dan proaktif bagi mencapai sebuah institusi pendidikan yang menyediakan program pengajian akademik yang terteraskan tauhid dan  sesuai dengan keperluan zaman kini serta keperluan fizikal yang seiring dengan “niche” Islam yang menepati halatuju pendidikan Islam dan Dasar Pendidikan Negara yang berkualiti dalam menuju sebuah Universiti Islam dalam tempoh yang terdekat. Usaha ini didokong oleh saf para pensyarah serta warga kerja yang memiliki sifat sebagai mudarris, mu`allim, muaddib, murabbi, dan mursyid.

KUIS menawarkan program pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing dan kompetitif.

KUIS tetap mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangunkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan Islam. Selain itu, KUIS juga berperanan menyediakan alternatif  untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

KUIS melebarkan jaringan dan rangkaian MoU dan MoA dalam pembangunan akademik, penyelidikkan dan inovasi sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam yang sentiasa relevan di peringkat nasional dan antarabangsa.

KUIS tekal memartabatkan Institusi Masjid al Azhar KUIS sebagai nadi kepada ketinggian rohani, kecemerlangan ilmu, paksi pembangunan insan dan lambang kesatuan ummah melalui solat berjemaah  yang  membentuk ikatan persaudaraan dan kasih sayang.

Dengan kemudahan fasiliti yang kondusif, KUIS juga mengutamakan  program pembangunan sahsiah yang holistik, prinsip persekitaran (bi’ah) yang  solehah, pembangunan iklim Dini, ikutan yang baik (qudwah hasanah), kecemerlangan akademik dan program khidmat ummah, ke arah melahirkan   warga  KUIS  yang memiliki akhlak yang terpuji dan sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan pembentukan negara Baldatun Tayyibatul Wa Rabbul Ghaffor.

Sejajar dengan itu, KUIS dengan penuh rasa tanggungjawab menyediakan pendidikan Islam kepada masyarakat sebagai tuntutan fardhu kifayah dan meletakan ketinggian ilmu sebagai asas pembangunan insan dan kemajuan negara. Sepertimana Firman Allah dalam surah al Mujahadah ayat 11 yang bermaksud:
Allah mengangkat kedudukan orang yang beriman daripada kamu dan orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat.”

mais pws lzs mais-corp kuiscell mpp kpt akept kpt soaring upwards

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
address  Bandar Seri Putra, 43000 Kajang, Selangor, MALAYSIA  address  2.891009, 101.788373  address  +603 8911 7000  address  +603 8926 8462
address  info@kuis.edu.my (umum) / admission@kuis.edu.my (kemasukan) / webmaster@kuis.edu.my (laman web)