MEMAKNAI PENGORBANAN MENJIWAI PERJUANGAN

بسم الله الرحمن الرحيم

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

Alhamdulillah, kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam dan Iman hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia.

Sempena Aidiladha ini semestinya kita mengambil iktibar daripada peristiwa korban yang dinukilkan di dalam al-Quran al-Karim, dari kecekalan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. Semangat inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi sebuah perjuangan. Jangan kita menganggap Aidiladha adalah rutinan tahunan biasa. Pesta tahunan yang disambut  hanya untuk bergembira. Ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala tetapi meletakkan jiwa sejauh mana pengorbanan kepada agama Allah S.W.T dalam menjalani kehidupan sehingga mampu mengenepikan kepentingan diri dan tuntutan peribadi.

Allah S.W.T menjadikan sejarah ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan.  Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah S.W.T serta melaksanakan dakwah Islamiah.

Hidup ini adalah perjuangan. Perjuangan menuntut pengorbanan. Pengorbanan memerlukan ketabahan dan ianya harus bermula dari diri sendiri. Inilah yang kita pelajari daripada sirah Rasulullah S.A.W yang memberikan kekuatan dan persediaan dalam perjuangan. Maka perjuangan dalam dunia pendidikan pastinya memberikan impak yang maksima kepada pembangunan generasi Ulul Albab.

Kita korbankan masa, kita korbankan harta, kita korbankan kesenangan diri, kehendak nafsu, semuanya untuk mentaati Allah S.W.T. Bukan mudah untuk bersedekah, berwakaf dan berzakat tanpa pulangan wang semula, tetapi kita laksanakan untuk mentaati Allah S.W.T.

Justeru, marilah kita menjadikan Aidiladha yang disambut pada tahun ini sebagai satu titik tolak untuk kita terus bermotivasi dan komited meningkatkan mutu dan nilai pengorbanan agar kita tergolong di kalangan hamba Allah S.W.T yang dirahmati.

Bersama kita berjuang dan berkorban membina masa depan KUIS yang lebih gemilang sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang bertanggungjawab melahirkan Da'i, Ulama dan Umara yang mampu memacu pembina generasi Ulul Albab yang akan mewarna kehidupan ini dengan menjadikan sebagai Islam is Way Of Life dan seterusnya membentuk  Baldatul Tayyibatul Warabbul Ghafur.

Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUIS yang terus berusaha, berjuang dan berkorban untuk mempromosi KUIS khususnya dalam program Gerak Gempur KUIS fasa 2 bagi memastikan KUIS mencapai Universiti penuh pada tahun 2016.

Salam Aidiladha 1435 Hijrah daripada saya dan Pengurusan KUIS kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga KUIS yang diingati lagi dikasihi yang sentiasa berjuang dan berkorban demi Jihad Pendidikan Islam. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita semua dan bersama MEMAKNAI PENGORBANAN MENJIWAI PERJUANGAN.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد