YBHG. PROFESOR DATO' DR. AB. HALIM BIN TAMURI
REKTOR, KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

PENGORBANAN PERLU SEHEBAT PERJUANGAN

بسم الله الرحمن الرحيم 

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Kedatangan Aidil Adha setiap tahun sentiasa mengingatkan kita tentang sejarah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s. Allah SWT menjadikan sejarah ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi umat Islam untuk mengorbankan harta dan jiwa demi keimanan kepada Allah SWT.

Sempena Aidil Adha ini marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan menelusuri sejarah para anbiya’ yang sentiasa taat dengan perintah Allah dan sanggup membelanjakan seluruh hartanya untuk agama Islam yang tercinta. Betapa hebat dan dahsyatnya pengorbanan mereka demi Islam. Mampukah kita mengikut jejak langkah mereka dengan melakukan pengorbanan yang ikhlas dan komited yang hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Manusia yang berkorban itu mampu mewujudkan suasana yang aman dan tenteram serta bahagia di dalam sebuah organisasi mahupun masyarakat. Sikap saling bantu-membantu sesama kita akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara satu sama lain dan mengikis sikap mementingkan diri sendiri. Perlu diingat pengorbanan itu bukanlah satu senjata untuk kita menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah akan tetapi untuk mendapat keredhaan Allah Taala.

Maka marilah bersama-sama kita memupuk semangat berkorban dalam diri kita tidak kira sama ada harta dan tenaga demi membangunkan organisasi yang kita sayangi ini. Bukan membandingkan apakah pengorbanan organisasi untuk diri kita namun sentiasa mengingatkan diri kita apakah sumbangan dan pengorbanan kita kepada organisasi ini demi mencapai redha, maghfirah dan rahmat Allah.

Justeru setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUIS yang sentiasa berjuang dan berkorban untuk mengharumkan nama KUIS dan meletakkan KUIS sebaris dengan institusi Islam yang lain. Marilah bersama-sama kita berjuang dan berkorban membina masa depan KUIS yang lebih hebat dan cemerlang sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang berkualiti dan berjaya di masa akan datang.

Salam Aidil Adha 1438 Hijrah daripada saya dan Pengurusan KUIS kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga KUIS yang diingati lagi dikasihi yang sentiasa berjuang dan berkorban demi Jihad Pendidikan Islam. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita. Ameen.

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد