YBHG. PROFESOR DATO' DR. AB. HALIM BIN TAMURI
REKTOR, KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

PERUBAHAN DEMI KEMASLAHATAN UMMAH

بسم الله الرحمن الرحيم 

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد

Alhamdulillah, selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Iman dan Islam sehingga ke hari ini.

Sejarah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s. Allah SWT sentiasa dicerita berulang-ulang apabila tibanya sambutan Aidil Adha. Pengorbanan seorang anak dan ayah ini sentiasa dijadikan pedoman dan tauladan bagi umat Islam sebagai bukti keimanan kepada Allah SWT.

Dilihat dari konteks lain dalam pengorbanan itu adalah dimana kita sanggup mengorbankan sikap dan perangai buruk kita ke arah yang lebih baik. Manusia yang sanggup berubah ke arah kebaikan itu mampu membawa kepada kejayaan di dalam sebuah organisasi mahupun masyarakat. Sikap sukakan perubahan yang lebih baik demi kemaslahatan ummah itu perlu diterapkan setelah lebih 2 dekad KUIS ini diwujudkan.

Sempena Aidil Adha ini marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan berubah ke arah kebaikan dengan memberikan sepenuh komitmen kita kepada KUIS dengan meningkatkan mutu kerja dan prestasi seiring dengan hala tuju baharu KUIS iaitu sebagai “Peneraju Tradisi Ilmu”.

Pelan Strategik KUIS 2014-2018 bakal berakhir dan selama 5 tahun ini pelbagai pencapaian, perubahan dan kisah suka duka telah kita lalui bersama. Marilah sama-sama kita mengekalkan prestasi terbaik yang telah kita capai dan perbaikilah kelemahan-kelemahan yang ada. Konsep puzzle iaitu saling perlu memerlukan itu dan saling bergantungan antara satu sama lain juga mampu menggemilangkan organisasi yang kita sayangi ini.

Perlu diingat kejayaan yang dicapai melalui kerja berpasukan lebih indah berbanding kejayaan individu. Membangun sebuah institusi pendidikan seperti KUIS ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dan kental selain berusaha untuk mendapat keredhaan Allah Taala. Maka marilah bersama-sama kita menerajui perubahan dari segenap segi sama ada mutu perkhidmatan, mutu kerja dan pencapaian demi membangunkan organisasi yang kita sayangi ini.

Justeru itu, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUIS yang sentiasa berjuang dan berkorban untuk mengharumkan nama KUIS. Marilah bersama-sama kita berubah dan berkorban demi masa depan KUIS yang lebih hebat dan cemerlang sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang berkualiti dan berjaya di masa akan datang.

Salam Aidil Adha 1439 Hijrah daripada saya dan Pengurusan KUIS kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga KUIS yang diingati lagi dikasihi yang sentiasa berjuang dan berkorban demi Jihad Pendidikan Islam. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita. Ameen.

 

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد