Salam Aidil Fitri : Tingkatkan Kesyukuran Eratkan Persaudaraan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Bersempena dengan ketibaan 1 Syawal 1434 Hijrah saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh warga KUIS yang dikasihi.

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang dan kesempatan untuk sama-sama kita menyambut Aidil Fitri atau hari kemenangan bagi umat Islam yang disambut dengan penuh perasaan keimanan, ketakwaan dan kesyukuran yang hakiki.

Pembinaan program taqwa sepanjang pengajian di Madrasah Ramadan selama sebulan dengan penuh  kesabaran dan kehambaan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT telah menjana dan membarakan  ketaqwaan dalam menuju insan yang sentiasa taat dan patuh segala perintah Allah seterusnya bulan Syawal yang mulia kita menyambut kemenangan kerana kembali kepada fitrah.

Jesteru saya menyeru agar kita tingkatkan rasa kesyukuran dan memperkasakan hubungan persaudaraan dengan ikatan kasih sayang kerana Allah SWT di antara  warga KUIS kerana ia adalah asas kekuatan dan kejayaan di dalam sebuah organisasi serta menutup segala ruang perpecahan.

Benarlah firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:

"Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara…"

Sabda Rasulullah SAW;

"Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

Sentiasalah bermaafan dan lontarkan senyuman bagi membentuk satu suasana KUIS yang lebih ceria, harmoni, bekerjasama dan berlapang dada.

Selamat menyambut Aidil Fitri bersama keluarga tercinta. Sambutlah Aidil Fitri dalam lingkungan syariah, saling bermaafan dan ziarah menziarahi bagi memupuk semangat persaudaraan yang sejati, sambutlah dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Kepada yang ingin pulang ke kampung halaman berhati-hati dijalanraya.

Tidak dilupakan doa dan harapan buat saudara kita di Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Rohinya, Somalia dan lain-lain yang terus dihimpit dan dibelenggu dengan peperangan, penderitaan, dan cengkaman musuh Islam semoga Allah SWT sentiasa memberi pertolongan dan kemenangan kepada mereka.

Akhir kata saya mewakili Pengurusan KUIS ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga KUIS yang dikasihi.

Semoga sentiasa dirahmati Allah swt. Ameen.