12 Julai 2014 bersamaan 14 Ramadhan 1435 | Masjid Al-Azhar KUIS

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillahi rabbil'alamin wassalatu wassalam 'ala Rasulillai wa 'ala alihi wasahbihi ajma'in.

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj

Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

Patik bagi pihak sekelian yang hadir, merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana sudi mencemar Duli berangkat hadir bagi menyempurnakan majlis berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya bagi daerah Hulu Langat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Pada petang yang penuh barakah ini, patik dan sekalian rakyat sentiasa mendoakan agar Allah swt melimpahkan rahmat dan kesejahteraanNya yang tidak terhingga bagi Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Amin ya rabbal a’lamin.

Ampun Tuanku,

Patik juga mohon izin mengalu-alukan kehadiran:
Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor Merangkap  Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS

Yang Berhormat Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Yang Amat Mulia Tengku-Tengku

Yang Amat Dihormati Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor

Yang Berhormat Exco-Exco Kerajaan Negeri, Pimpinan-Pimpinan Kanan Dan, Ahli-Ahli Parlimen Dan Adun

Yang Amat Dihormati Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor

Yang Dimuliakan Orang-Orang Besar Istana

Yang Dihormatkan Orang-Orang Besar Daerah

Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Daerah Dan Negeri

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin
Pengurusan tertinggi KUIS, para pensyarah, pegawai dan para mahasiswa KUIS.

Seterusnya, para hadirin yang dirahmati Allah swt sekalian

Ampun Tuanku,
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya maka dapat kita bersama-sama berkumpul pada majlis berbuka puasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku  bersama rakyat di petang yang berbahagia ini.

Ampun Tuanku,

Patik mohon untuk menyembah maklum kebawah duli yang maha mulia Tuanku beberapa perkara mengenai perkembangan dan kemajuan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada masa ini.

Ampun Tuanku,

Alhamdulillah dengan izin Allah KUIS telah menjangkau usia 19 tahun, sejak awal penubuhannya pada tahun 1995. Pelbagai perubahan dan kemajuan telah di capai yang mana hasilnya boleh dilihat pada masa kini. Segala rintangan dan cabaran dilalui bersama warga KUIS demi memastikan kelangsungan institusi pengajian tinggi Islam di bawah Negeri Naungan Tuanku. Sehingga kini KUIS telah berjaya membangunkan 5 program asasi, 23 program diploma, 18 program sarjana muda, 2 program sarjana dan 1 program doktor falsafah yang kesemuanya telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Di samping itu, KUIS telah berjaya melahirkan lebih 12,000 orang graduan yang mana kebanyakkan mereka telah berkhidmat di dalam sektor kerajaan mahupun swasta. KUIS juga amat bersyukur kerana ada antara mereka telah menjadi penerus generasi Da’i, Ulama Dan Umara’.

Ampun Tuanku,

Baru-baru ini KUIS telah menerima pelajar baharu seramai 2071 orang untuk Sesi 1/2014 iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus  berbanding pengambilan Sesi 1/2013. Manakala jumlah pelajar yang membuat permohonan iaitu seramai 12,442 orang iaitu peningkatan sebanyak 170 peratus. Ini bermakna, jumlah keseluruhan pelajar KUIS pada masa ini adalah 5565 orang. Jumlah ini termasuklah pelajar-pelajar jurusan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran & al-Qiraat iaitu seramai 223 orang. Peningkatan jumlah ini membuktikan keyakinan rakyat & masyarakat terhadap sistem pendidikan di KUIS. Inshaa Allah, pihak KUIS berharap peningkatan berterusan untuk pengambilan pada sesi kedua bulan November  akan datang.

Ampun Tuanku,

KUIS kini berusaha mencapai status universiti penuh menjelang tahun 2016. Beberapa perkara telah dirancang dan telah dilaksanakan khusus untuk mencapai wawasan ini antaranya:

Pertama,  penawaran program pasca siswazah iaitu Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Muamalah), Ijazah Sarjana Syariah (Pengurusan) dan Doktor Falsafah Islamiyyat. Penawaran program ini adalah bagi menggalakkan usaha melahirkan lebih ramai profesional dan penyelidik yang Islamik disamping memupuk dan meneruskan usaha untuk melakukan penyelidikan ilmiah.

Kedua, penambahan program pengajian yang juga merupakan faktor penentu kejayaan wawasan ini.
Antara program pengajian yang bakal dilaksanakan ialah:

  1. Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Dengan Multimedia,
  2. Ijazah Sarjana Muda TESL Dengan Multimedia,
  3. Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dan Komunikasi Korporat,
  4. Ijazah Sarjana Kewartawanan,
  5. Ijazah Sarjana Komunikasi Islam,
  6. Ijazah Sarjana Islamiyyat dan beberapa lagi program yang telah dirancang

Penambahan program ini adalah bertujuan menarik minat pelajar untuk menyambung pengajian di KUIS, di samping meningkatkan kebolehpasaran gradúan KUIS dan memenuhi keperluan industri masa kini. Bagi meningkatkan keharmonian dan kesejahteraan Negeri Selangor, pihak KUIS telah merancang untuk menjalankan program Diploma Eksekutif Pengurusan Masjid dan Pembangunan Komuniti bagi semua bakal-bakal imam, pegawai masjid, dan ahli jawatankuasa masjid seluruh Selangor.

Ketiga, menggalakkan peningkatan jumlah pelajar yang berdaftar untuk mengikuti pengajian di KUIS. Promosi yang agresif adalah kritikal sebagai usaha memastikan orang ramai mengetahui program yang ditawarkan. Kerjasama dari seluruh warga KUIS amat bermakna kerana ia akan mewujudkan senergi baru dalam usaha mencapai kejayaan agar segala nikmat kebersamaan dapat dirasai oleh semua.

Keempat, Bagi merangka dan meningkatkan potensi akademik, modal insan, hala tuju mahasiswa, sistem teknologi maklumat dan pentadbiran kewangan, KUIS telah melaksanakan Key Performance Indicator (KPI), sebagai garis panduan prestasi dan menjadi penentu kejayaan sesebuah organisasi. Sehubungan itu juga, Pelan strategik KUIS 2014 – 2018 telah diwujudkan

Kelima, KUIS berhasrat untuk menjadi Universiti Wakaf yang pertama di Malaysia. Sehubungan itu, KUIS telah diberi kebenaran oleh Perbadanan Wakaf Selangor untuk menerima sumbangan wakaf dari orang ramai. Patik menyeru kepada orang ramai agar berwakaf di KUIS. Segala sumbangan wakaf bertujuan untuk pembangunan pendidikan. Bagi menambah dana wakaf, KUIS juga berusaha mendapatkan sumbangan wakaf dari luar negara.

Keenam, KUIS dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor telah menubuhkan Pusat Zakat pendidikan di KUIS. Zakat pendidikan ini adalah merupakan penyumbang kepada pembangunan pendidikan yang lebih mampan.   Sejak sebulan penubuhannya, Pusat zakat KUIS telah berjaya mengutip sebanyak RM 86,500.00 daripada orang ramai. Patik dengan rasa rendah hati menjemput para hadirin sekalian untuk berzakat di pusat zakat KUIS untuk sumbangan pembangunan pendidikan islam di KUIS.
Ampun Tuanku,

KUIS amat berterima kasih atas bantuan dana pinjaman mudah (softloan) daripada kerajaan negeri Selangor yang bernilai RM 48.5 juta bertujuan melancarkan pembangunan fasiliti dan menaik taraf dan pembinaan fasiliti baru untuk menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat. Antara pembangunan yang bakal dilaksanakan ialah bangunan akademik bagi menempatkan fakulti baru iaitu Fakulti Pendidikan Dan Sains Sosial, perpustakaan, kompleks sukan, dan kompleks aktiviti pelajar agar dapat memberi keselesaan kepada  mahasiswa semasa dalam sesi pembelajaran, perlaksaan program dan aktiviti riadah.


Ampun Tuanku,

KUIS juga sedang giat melakukan kegiatan penganjuran seminar-seminar dan persidangan peringkat tempatan dan antarabangsa. Penganjuran program yang dikendalikan oleh setiap fakulti ini bertujuan untuk mengalakkan pembentangan penyelidikan dan idea baharu oleh warga KUIS selain melahirkan lebih ramai penyelidik di KUIS.

KUIS juga optimis dan serius dalam membangunkan pusat pusat penyelidikan yang bertaraf antarabangsa. Antara pusat penyelidikan yang telah ditubuhkan ialah Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi Dan Kewangan Islam (IRCIEF) yang bekerjasama dengan Institut Latihan & Penyelidikan Islam (IRTI) di bawah Bank Pembangunan Islam (IDB) yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi. Adalah diharapkan pusat ini dapat menarik minat penyelidik-penyelidik dari dalam dan luar negara untuk melakukan kajian berkaitan pembangunan ekonomi dan kewangan Islam.  

KUIS juga bakal menubuhkan Pusat Pengembangan Akidah dan Latihan Pendakwah Ahli Sunnah Wal Jamaah selaras dengan hasrat KUIS untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor meninggikan syiar Islam.

Ampun Tuanku,

Di dalam meningkatkan kerjasama serantau, KUIS sedang giat menjalin kerjasama dengan termeterainya MOA dan MOU bersama  beberapa institusi pendidikan, agensi kerajaan dan swasta dari dalam dan luar negara untuk pembangunan pendidikan. KUIS juga membuka ruang kepada institusi serantau untuk membuat lawatan mahabbah ke KUIS agar kerjasama dan usaha bersepadu terus terjalin.
KUIS amat berterima kasih kepada rakan korporat yang sudi memberi sumbangan demi pembangunan akademik dan sahsiah pelajar. Antaranya Penajaan Biasiswa daripada Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd., sumbangan zakat pendidikan daripada Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS), dan Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. KUIS amat mengalu-alukan sumbangan daripada badan-badan korporat yang lain dalam usaha membangunkan pendidikan Islam di Selangor.

Ampun Tuanku,

KUIS juga tidak melupakan golongan yang kurang berkemampuan dan dalam kesusahan. Kegiatan program khidmat ummah (CSR) menjadi sebahagian sumbangan KUIS kepada masyarakat. Adalah diharapkan khidmat dan bantuan yang diberikan dapat mengurangkan sedikit sebanyak kesusahan yang dihadapi. Program khidmat ummah akan dipergiat dengan lebih meluas dan pembabitan warga KUIS secara keseluruhan amat di galakkan.

Sidang hadirin sekalian…

Pada petang ini, selain majlis berbuka puasa, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim, fakir, miskin dan saudara baru di daerah ini yang sebahagiannya merupakan pelajar KUIS. Apa yang diharapkan adalah sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima-penerima tersebut disamping memenuhi hak-hak kepada mereka yang layak untuk menerima sumbangan.

Akhir kalam, patik ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Hulu Langat, JKR, Pejabat Agama Islam Daerah  dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada petang ini.
Ampun Tuanku,

Sebelum mengundur diri, patik sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk berangkat hadir di majlis yang sangat bermakna ini.

Patik dan warga Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor serta hadirin sekalian sentiasa mendoakan kesejahteraan yang berpanjangan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dikesempatan ini, patik dan sekalian rakyat negeri Selangor memanjatkan doa dan memohon keselamatan dan kesejahteraan ke atas Duli Yang  Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al- Haj, Puteri-Puteri Tuanku, Adinda-Adinda Tuanku, Waris-Waris, dan Kerabat Di Raja sekalian agar sentiasa berada dalam iman dan taqwa, sihat walafiat dengan rezeki yang melimpah ruah serta kesejahteraan kepada para pemimpin dan rakyat sekalian. Amin ya rabbal alamin.

Ampun Tuanku,

Sekian sembah ucapan patik,
Wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.