بسم الله الرحمن الرحيم
“Dan hendaklah sempurnakan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan padamu, supaya kamu bersyukur.”(Surah Al-Baqarah:185)

Bersempena dengan ketibaan 1 Syawal 1436H saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya  Aidil Fitri kepada seluruh warga KUIS yang dikasihi.

Setinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah swt yang telah mengurniakan segala nikmat semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan memberikan peluang dan kesempatan untuk sama-sama kita menyambut hari kemenangan bagi umat Islam. Aidilfitri pada tahun ini  disambut dengan penuh perasaan keimanan, ketakwaan dan kesyukuran yang hakiki.

Alhamdulillah, KUIS telah menerima sejumlah 3,000 orang pelajar baharu pada sesi Jun 2015 termasuk pelajar Asasi dan menjadikan jumlah keseluruhan pelajar semasa KUIS hampir 8,000 pelajar. Ini membuktikan bahawa KUIS kekal diterima dan terus relevan serta menjadi pilihan utama di kalangan masyarakat. Justeru, dalam usaha menuju gagasan sebuah universiti  marilah kita  bersinergi sebagai sebuah kulawangsa yang bersatu hati menyahut jihad pendidikan ini dengan terus bekerja keras, meningkatkan kemahiran dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak bagi melahirkan generasi yang muttaqin dan mempunyai jatidiri sebagai seorang Da’i, Ulama dan Umara.

Pembangunan  taqwa sepanjang sesi pengajian di Universiti Ramadan selama sebulan telah  menjana dan membarakan  ketaqwaan dalam menuju insan yang sentiasa taat dan patuh segala perintah Allah swt dan mengawal hawa nafsu sepanjang hari serta membentuk  rasa kesabaran dan kehambaan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Swt .

Sambutlah aidil fitri dalam lingkungan syariah dan memuji kebesaran Allah swt sepertimana Sabda Rasulullah s.a.w.  “Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid”.

Warnailah hari mulia ini dengan pelbagai aktiviti menghidupkan sunnah dan amalan-amalan mulia seperti bermaaf-maafan, mengeratkan dan menyambung silaturrahim, ziarah-menziarahi, bersedekah dan bersalam-salaman antara satu sama lain bagi memupuk semangat persaudaraan yang sejati. Hapuskan segala pensengketaan dan permusuhan, binalah hubungan persaudaraan tanpa sempadan.

Selamat menyambut aidil fitri bersama keluarga tercinta,  sambutlah dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Kepada yang pulang ke kampung halaman berhati-hati di jalanraya dan utamakan keselamatan serta sampaikan Salam Aidil Fitri  buat keluarga di kampung halaman.

Buat akhirnya, saya mewakili Pengurusan KUIS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin buat seluruh warga KUIS yang dikasihi.Semoga sentiasa dirahmati Allah swt. Wakullu ‘am wa antum bikhair (semoga beroleh kejayaan sepanjang tahun).

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’