YBHG. PROFESOR DATO' DR. AB. HALIM BIN TAMURI
REKTOR, KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

بسم الله الرحمن الرحيم 

Dari Abu Hurairah Radiyallahu’anhu:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”  (HR. Bukhari)

 

Bersempena dengan ketibaan 1 Syawal 1438H saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya  Aidil Fitri kepada seluruh warga KUIS yang dikasihi.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah swt yang telah memberikan peluang dan kesempatan untuk kita sama-sama dapat menyambut hari kemenangan bagi umat Islam. Semoga Aidilfitri pada tahun ini  disambut dengan penuh perasaan keimanan, ketakwaan dan kesyukuran yang hakiki selain mendapat keampunan atas dosa-dosa yang lalu.

Diharapkan sepanjang madrasah Ramadhan pada tahun ini telah kita penuhi dengan aktiviti penyucian hati dan jiwa serta mendapat keredhaan Allah swt. Membangun modal insan bukanlah satu tanggungjawab yang mudah, dimana ianya memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh agar generasi yang dilahirkan sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah swt dan mampu memanfaatkan diri untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Alhamdulillah,  pada sesi Jun 2017 KUIS telah menerima sejumlah 1,433 orang pelajar baharu Diploma & Ijazah dan menjadikan jumlah keseluruhan pelajar semasa KUIS hampir 10,000 pelajar. Kita juga bersyukur kerana Kementerian Pendidikan Tinggi telah meluluskan 23 program baharu untuk ditawarkan oleh KUIS iaitu 3 program PhD, 17 program Master, 2 program Ijazah Sarjana Muda, 1 program Diploma & 1 program Asasi. Tiga (3) program PhD yang baharu ialah Doktor Falsafah Pengajian Bahasa Arab, Doktor Falsafah Multimedia Kreatif & Doktor Falsafah Pendidikan. Ini membuktikan bahawa usaha dan kerja keras serta kerjasama semua warga KUIS bagi memastikan KUIS terus menjadi pilihan utama masyarakat telah membuahkan hasil. Namun komitmen yang berterusan masih perlu digarap dan disulam dengan idea yang bernas bagi memastikan KUIS terus relevan dan berjaya mencapai status Universiti Penuh.

Kepada warga KUIS yang pulang ke kampung halaman, berhati-hati di jalan raya dan ingatlah insan tersayang. Jika ada kesempatan, perkenalkanlah KUIS kepada saudara mara dan sahabat handai dengan menjadikan institusi ini sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Hiasilah Aidil Fitri ini dengan amalan-amalan mulia seperti bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi dan bersedekah serta menghapuskan segala pensengketaan dan permusuhan dengan membina hubungan persaudaraan tanpa sempadan. Sesungguhnya hidup ini amat singkat dan penuhilah ia dengan amalan-amalan yang membawa kita ke negeri abadi dengan penuh ketenangan.

Saya mewakili pengurusan KUIS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin. Mohon agar semua pensyarah, kakitangan dan pelajar dapat mendoakan kesejahteraan KUIS agar institusi kita ini sentiasa di bawah rahmat Allah serta dipermudahkan segala urusan.

كل عام و انتم بخير

Semoga beroleh kejayaan sepanjang tahun

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’