YBHG. PROFESOR DATO' DR. AB. HALIM BIN TAMURI
REKTOR, KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

MERAIKAN AIDIL FITRI DENGAN PENUH KETAQWAAN

بسم الله الرحمن الرحيم 

Bersempena dengan ketibaan 1 Syawal 1439H saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga KUIS yang dikasihi.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah swt yang telah memberikan ruang dan kesempatan untuk kita sama-sama menjalani madrasah Ramadhan selama sebulan dengan pelbagai aktiviti penyucian hati dan jiwa. Sekali lagi kita dipanjangkan umur dan dapat menyambut hari kemenangan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam iaitu AidilFitri. Semoga Aidilfitri pada tahun ini disambut dengan penuh keimanan, ketakwaan dan kesyukuran selain mengharapkan keredhaan Allah Taala serta diampunkan dosa-dosa kita yang lalu.

Membangunkan sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa bukanlah satu yang mudah. Hanya insan yang bertaqwa dan bergantung sepenuhnya kepada Allah sahaja yang mampu mendepani sebarang mehnah dan tohmahan dengan sifat sabar dan redha. Kepuasan hati akan dapat kita rasakan apabila melihat generasi yang dilahirkan mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Justeru itu, marilah sama-sama kita berusaha dan memberikan khidmat yang bersungguh-sungguh demi melihat kejayaan dan kegemilangan KUIS yang kita sayangi ini sentiasa terbuka dan dipermudahkan.

Kepada warga KUIS yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hati di jalan raya dan semoga dapat meraikan AidilFitri bersama insan tersayang. Sama-samalah kita mempromosikan KUIS kepada saudara mara dan sahabat handai yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Penuhilah Aidil Fitri pada tahun ini dengan saling bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi dan bersedekah serta mengeratkan silaturrahim. “Buang yang keruh, Ambil yang jernih”. Sesungguhnya kita hidup di dunia ini bukan untuk mendabik dada dan melihat siapa yang paling hebat di mata manusia. Akan tetapi untuk melihat hebatkah kita di mata Allah Subhanahu Wata’ala dengan melaksanakan amalan-amalan yang dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya.

Saya mewakili pengurusan KUIS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin. Moga semua pensyarah, kakitangan dan pelajar KUIS dapat mendoakan kesejahteraan KUIS agar sentiasa di bawah rahmat Allah serta dipermudahkan segala urusan.

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد

كل عام و انتم بخير

Semoga beroleh kejayaan sepanjang tahun

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’