YBHG. PROFESOR DATO' DR. AB. HALIM BIN TAMURI
REKTOR, KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

AIDIL FITRI BULAN KEMENANGAN

بسم الله الرحمن الرحيم

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

 

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur

(Surah Al-Baqarah Ayat 185)

Alhamdulillah, dengan ketibaan 1 Syawal 1440H saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga KUIS yang dikasihi.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk menjalani madrasah Ramadhan selama sebulan dengan pelbagai aktiviti penyucian hati dan jiwa. Sekali lagi kita dipanjangkan umur dan dapat menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan insan yang tersayang. Semoga Aidilfitri pada tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran dan mendapat keredhaan Allah Taala serta diampunkan dosa-dosa kita yang lalu.

Memacu sebuah institusi pengajian tinggi Islam (IPTS) bukanlah mudah. Banyak mehnah dan tribulasi yang perlu ditempuhi dengan sifat sabar dan redha. Hanya insan yang bertaqwa dan bergantung sepenuhnya kepada Allah sahaja yang mampu mendepani sebarang ujian dengan penuh kesabaran. Antaranya ialah keadaan kelembapan ekonomi semasa dan munculnya Revolusi Perindustrian 4.0 dalam cabaran Pendidikan Abad ke-21 yang menuntut untuk KUIS turut berubah mengikut situasi semasa atau KUIS bakal ketinggalan dalam industri pendidikan negara.

Sasaran KUIS untuk mendapatkan pelajar baharu sebanyak 5,000 orang perlu direalisasikan dan dicapai pada tahun ini. Justeru itu saya menyeru kepada semua warga KUIS agar dapat sama-sama memperkenalkan KUIS kepada saudara mara dan sahabat handai yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Ayuh sama-sama rapatkan saf untuk kita membawa KUIS ke destinasi yang lebih cemerlang dan gemilang di masa akan datang.

Kepada pelajar dan pegawai KUIS yang akan pulang bercuti ke kampung halaman sentiasalah berhati-hatilah di jalan raya dan ingatlah orang tersayang. Aidil Fitri pada tahun ini sama-samalah kita saling bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim.

Saya mewakili pengurusan KUIS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin. Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan KUIS agar sentiasa di bawah rahmat Allah serta dipermudahkan segala urusan.

الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد

كل عام و انتم بخير

Semoga Allah Merahmati KUIS dan beroleh kejayaan sepanjang tahun

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’