UKHUWAH ISLAMIAH ASAS PENYATUAN UMMAH

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah Al-Anfal; Ayat 72)

Segala pujian hanya bagi Allah SWT yang memberikan nikmat dan rahmat kepada kita. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi pemangkin kepada penyatu ummat di dalam sejarah peradaban manusia berpandukan wahyu Ilahi.

Akidah Islamiyah adalah merupakan asas ukhuwah dalam Islam. Dengan memahami dan menghayati akidah Islamiyah, umat Islam akan menjadi umat yang bersatu dan cemerlang. Pembentukan kerajaan Islam Madinah melalui perlembagaan Madinah merupakan bukti bahawa ukhuwah merupakan asas kecemerlangan dan penyatuan ummah. Bangsa Arab yang terdiri dari pelbagai kaum dan kafilah telah bersatu untuk memajukan Madinah Al-Munawwarah.

Ukhuwah atau persaudaraan merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi untuk saling tolong-menolong, berkasih sayang, saling memaafi, setia kawan dan sikap mahmudah yang lain. Tidak akan ada ukhwah tanpa iman dan takwa  begitu juga sebaliknya.

Justeru, saya bersama Pengurusan KUIS menyeru kepada pensyarah, pelajar dan warga kerja KUIS agar marilah kita bersama-sama membina ukhwah Islamiah sama ada dalam kalangan warga KUIS mahupun dengan masyarakat luar. Sikap saling hormat menghormati dan menghindari sifat mazmumah merupakan kunci utama kepada ukhuwah Islamiah. Penerapan budaya 3S iaitu Senyum Sapa Salam juga boleh diamalkan dalam kampus sebagai satu usaha untuk merapatkan ukhuwah dalam kalangan warga KUIS termasuk pelajar, pensyarah dan kakitangannya. Bukan itu sahaja, malah banyak lagi program berbentuk seminar, konvensyen, kursus, program khidmat ummah dan program santai yang boleh dilaksanakan bagi merapatkan persaudaraan dan memupuk ukhuwah Islamiah seterusnya menjadi pemangkin kepada penyatuan ummah di dalam mendidik generasi Islam kini dan masa akan datang.

Selamat menyambut tahun baharu 1438 Hijrah. KUIS MILIK KITA BERSAMA.

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’