Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya kita dapat memasuki fasa baru hijrah iaitu tahun baru 1439 hijrah.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Ali-Imran: 103)

Kesatuan umat Islam juga digerakkan oleh Rasulullah SAW melalui tindakan proaktif mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj, selain menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin di Madinah. Persengketaan Aus dan Khazraj yang sekian lama itu berjaya diruntuhkan oleh Baginda SAW melalui persaudaraan, manakala rasa terasing orang Muhajirin dapat dipadamkan melalui persaudaraan dengan orang Ansar, sekali gus memudahkan Rasulullah SAW mewujudkan suasana aman dan sejahtera di Madinah.

Umat yang menjiwai makna kesatuan ialah umat yang sentiasa terbuka minda, berlapang dada serta saling menghormati antara satu sama lain. Umat yang memahami harga sesebuah perpaduan yang tiada ternilai harganya pasti tidak akan membuat desakan yang boleh menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang boleh meranapkan kesatuan ummah.

Kesejahteraan ummah mahupun negara menuntut keikhlasan dan istiqamah semua pihak bagi memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman antara sesebuah komuniti terus terpelihara. Hanya melalui roh dan semangat inilah, masyarakat di Malaysia khususnya umat Islam mampu terus hidup dalam suasana yang tenteram, sejahtera dan harmoni.

Bertemakan “Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara” pada tahun ini juga menuntut kita selaku warga KUIS perlu bekerja di dalam satu pasukan agar matlamat organisasi tercapai di dalam melahirkan Daie, Ulama’ dan Umara’.

Justeru saya dan Pengurusan KUIS menyeru kepada semua warga KUIS sama ada pensyarah, kakitangan mahupun pelajar supaya sentiasa bersatu padu dalam menangani apa jua permasalahan yang berlaku. Marilah kita mencari persamaan dan bukannya perbezaan yang mana ianya akan menggugat kesatuan yang kita bina. Perlu diingat membina itu memakan masa dan meroboh itu sekelip mata yang mana kesatuan ummah itu memerlukan masa yang agak lama untuk kita memupuk dan menyemainya manakala untuk berpecah belah itu memakan masa yang cukup singkat sahaja.

Dengan kedatangan tahun baru hijrah ini juga marilah sama-sama kita merapatkan saf dan berazam agar tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Tingkatkan keazaman di mana pada tahun hijrah ini kita akan meningkatkan lagi prestasi ibadah kita kepada Allah Taala dengan mengikuti majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh KUIS supaya kesatuan ummah itu dapat diperkukuhkan.

Pepatah melayu yang sering kita dengar “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh” memberikan seribu makna untuk kita memastikan KUIS mampu bertapak dan bertahan demi meneruskan kecemerlangan institusi pendidikan Islam yang tersohor di Selangor. Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga demi melihat KUIS cemerlang di masa hadapan untuk generasi akan datang.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1439 Hijrah.

KUIS Milik Kita Bersama.

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’