PROFESOR DATO’ DR. AB. HALIM BIN TAMURI

RAMADHAN BULAN MEMBINA UKHUWAH MENGGAPAI MAGHFIRAH

بسم الله الرحمن الرحيم

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

 

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t yang telah mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadhan al-Mubarak bagi tahun 1439H.

Bulan ramadhan disebut juga sebagai Syahrul At Tarbiyah atau bulan pendidikan. Bulan ini bagaikan ‘institusi’ yang mendidik hamba-hamba Allah yang mukmin untuk menjalani pendidikan Islam yang sempurna; meliputi pendidikan rohani, intelektual dan fizikal.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (al-Baqarah:183)

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua warga kerja KUIS agar Ramadhan yang bakal dilalui dapat  dimanfaatkan dengan membaca Al-Quran, menghadiri majlis ilmu, bekerja dengan produktif dan lebih tekun serta memperbanyakkan amal ibadah seperti bersedekah terutamanya memberi makan kepada orang yang berbuka puasa melalui sumbangan kepada Masjid Al-Azhar dan Yayasan KUIS yang akan mengendalikan majlis berbuka puasa kepada pelajar-pelajar asnaf KUIS.

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (menyediakan makanan berbuka puasa) maka ia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak mengurangi sedikitpun pahala puasanya.” (HR. At Tirmidzi)

Dalam bulan yang mulia ini juga marilah sama-sama kita memohon maghfirah atau pengampunan daripada Allah Taala atas segala dosa-dosa kita selama ini. Tidak kira sama ada dosa kepada Allah, ibubapa, sahabat, rakan sekerja, jiran tetangga, saudara mara dan umat Islam seluruhnya. Kita mungkin tidak perasan bahawa kita pernah melukakan hati insan lain tanpa kita sedari. Semoga dengan memohon maaf akan menghapuskan segala dosa-dosa kita yang lalu dan memadamkan api persengketaan.

Perjalanan hidup ini seperti yang pernah saya sampaikan sebelum ini adalah ibarat puzzle iaitu saling bergantungan antara satu sama lain. Atas dasar tersebut maka seharusnya sebagai warga KUIS kita berganding bahu dalam melaksanakan tugasan dan amanah yang diberikan oleh Allah Taala dengan penuh iltizam dan komitmen yang bersungguh-sungguh demi kelangsungan dan kejayaan KUIS. Binalah dan kukuhkan ukhuwah sesama kita kerana untuk melihat kejayaan KUIS kita perlu melihat pada titik persamaan bukan pada titik perbalahan.

Bagi pihak Pengurusan KUIS, saya mengambil kesempatan untuk menyusun sepuluh jari jika sepanjang menerajui KUIS ada yang terguris rasa, terobek hati dengan perkataan, perbuatan atau gerak laku kami sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan Kareem kepada seluruh warga KUIS dengan satu harapan dan doa yang sentiasa diulang-ulang agar kita dapat terus menghirupkan lagi udara ibadah di dalam bulan Ramadan. Marhaban Ya Ramadan.

Kepada semua mahasiswa, pensyarah, pegawai dan seluruh warga KUIS selamat melalui bulan tarbiyah dan penuhilah ia dengan nikmat iman dan Islam dengan secukupnya. Semoga Ramadhan kali ini memberikan kebahagiaan yang tidak ternilai kepada semua warga KUIS dan sentiasa dimurahkan rezeki.

“Kukuhkan Ukhuwah, Gapailah Maghfirah Allah”.

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’