PROFESOR DATO’ DR. AB. HALIM BIN TAMURI

RAMADHAN BULAN TARBIYYAH DAN TINGKATKAN AMALAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”
(Surah Al-Baqarah: ayat 183)

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinnya jua kita diberikan lagi perluang bertemu sekali dengan bulan yang mulia iaitu Ramadhan Al-Mubarak 1440H.

Betapa beruntungnya kita kerana masih diberikan anugerah terindah oleh Allah untuk melalui bulan Ramadhan, sedangkan ada yang telah dijemput Illahi sebelum sempat melaluinya. Andainya ini Ramadhan terakhir kita maka hiasilah ia dengan amalan yang mampu membawa kita ke alam abadi dengan penuh kegembiraan.

Bulan ramadhan adalah Bulan Tarbiyyah yang mendidik hamba-hambanya untuk menjalani “latihan praktikal” yang sempurna meliputi pendidikan rohani, intelektual dan fizikal.

Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah melainkan Allah memalingkan wajahnya dengan hari itu daripada neraka sejauh tujuh puluh tahun”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Saya mengambil kesempatan ini mengajak semua warga kerja KUIS agar memanfaatkan Ramadhan dengan amalan-amalan yang mampu meningkatkan ketaqwaan seperti membaca Al-Quran, memperbanyakkan sedekah dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Sentiasalah bekerja dengan lebih produktif dan tekun dalam usaha memastikan sasaran pelajar KUIS pada tahun ini berjaya dicapai.
Perubahan ke arah kebaikan itu perlu sebagaimana hijrah yang dilakukan oleh Rasullullah SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama merubah minda dan paradigma kita ke arah hala tuju dan masa depan yang lebih baik. Tingkatkan komitmen dan jangan ada perasaan keakuan dalam melaksanakan tugasan kita. Sentiasalah bermuhasabah diri dan saling bekerjasama agar institusi yang kita sayangi ini mampu bertahan dan menjadi lebih cemerlang dan melahirkan lebih ramai Dai, Ulama dan Umara.

Mewakili pihak Pengurusan KUIS, saya mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari sekiranya sepanjang mentadbir KUIS ada perkataan, perbuatan atau gerak laku kami sama ada secara sengaja atau tidak sengaja yang tidak disenangi oleh semua warga KUIS. Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh warga KUIS dengan doa dan harapan semoga Ramadhan ini Allah memakbulkan doa kita. Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Ya Ramadan.

Kepada semua mahasiswa, pensyarah, pegawai dan seluruh warga KUIS selamat melalui bulan tarbiyyah ini dengan nikmat Iman dan Islam. Semoga Ramadhan kali ini memberikan kejayaan di dunia dan akhirat kepada semua warga KUIS dan sentiasa dimurahkan rezeki.

“Bulan Tarbiyyah, Tingkatkan Amalan”.

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’