21 & 22 Oktober 2017 (Sabtu & Ahad) di Pusat Konvensye KUIS

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسول الله وعلى ءاله وأصحابه أجمعين

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN DAN PARA GRADUAN YANG SAYA HORMATI.

  • Alhamdulillah, pada hari ini marilah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor untuk dapat mengadakan Majlis Konvokesyen kali ke-20. Majlis Konvokesyen ini diadakan untuk memberikan pengiktirafan kepada semua graduan yang telah berjaya setelah melalui berbagai cabaran dalam menuntut ilmu. Kejayaan ini merupakan satu yang kita sama-sama hargai dan merupakan kejayaan pelajar-pelajar dan keluarga mereka.

HADIRIN DAN HADIRAT YANG SAYA KASIHI.

  • Di kesempatan ini, izinkan saya bagi seluruh warga KUIS merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Jutaan penghargaan dan terima kasih kepada para ibu bapa yang memilih KUIS sebagai medan anak-anak menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman. Tahniah kepada ibu bapa yang dapat hadir untuk meraikan hari bersejarah ini. Kepada semua tenaga akademik dan seluruh warga kerja KUIS, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kerana berusaha memastikan para graduan menjadi insan yang terdidik. Semoga dengan usaha ini mereka dapat mengisi ruang-ruang dakwah dan membangun ketamadunan ummah ke tahap yang terbaik.

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN DAN PARA GRADUAN YANG SAYA HORMATI.

  • Alhamdulillah dengan  izin Allah swt  kini KUIS  telah menjangkau 2 dekad penubuhannya, dan sehingga kini telah melahirkan hampir 17,000 graduan dalam pelbagai bidang pengajian. KUIS dengan matlamat penubuhannya sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang memenuhi tanggungjawab sosial dan ummah berusaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangun ummah. Hasrat untuk melahirkan daie, ulama dan umara’ merupakan cita-cita utama KUIS yang kita dokong bersama.

 

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

  • Bagi mendepani cabaran semasa, KUIS semakin mengorak langkah ke hadapan dengan menumpukan kepada program-program pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah. Pada masa terdapat lebih daripada 24 program pasca siswazah yang ditawarkan. Penubuhan Pusat Pengajian Siswazah bertujuan menguruskan program-program pasca siswazah dengan lebih berkesan lagi. Saya menyeru kepada graduan KUIS sama ada di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana untuk terus menyambung pengajian di KUIS sehinggalah anda tamat di peringkat Doktor Falsafah. Sokongan saudara saudari amatlah diharapkan demi melihat KUIS bakal mencapai hasratnya menjadi sebuah universiti Islam yang unggul di masa hadapan.

 

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

  • Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri Selangor yang banyak membantu KUIS.
  • Pembinaan bangunan baharu akademik KUIS dan penaiktarafan perpustakaan Imam As-Syafie KUIS yang bernilai RM28 juta secara Qard Al-Hassan yang disempurnakan pada 9 Oktober 2017 lepas membuktikan komitmen yang sangat tinggi daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan kemudahan infrastruktur KUIS dalam keadaan baik dan lengkap. Selain itu bantuan sebanyak RM8 juta untuk 2017 juga turut disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi menaiktaraf infrastruktur teknologi maklumat, wifi di blok-blok akademik, penggantian penghawa dingin dewan konvokesyen, kemudahan baru bilik kuliah serta keperluan pengajaran dan pembelajaran yang baharu.
  • Selain itu, kemudahan pinjaman dan bantuan pendidikan seperti Tabung Biasiswa Selangorku telah membantu dan memberi manfaat daripada kepada 160 orang pelajar KUIS pada tahun ini. Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat KUIS yang berjumlah lebih 5 juta setahun telah dimanfaatkan oleh seramai 681 orang pelajar KUIS pada tahun ini berbanding 352 orang pada tahun 2016. Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor berjumlah RM16 juta yang memberikan kemudahan pinjaman boleh ubah (convertible loans) kepada pelajar-pelajar yang cemerlang. Dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor juga telah memberi manfaat kepada lebih 200 orang pelajar KUIS. Semoga dengan usaha ini akan menjadikan negeri Selangor bertambah makmur, maju dan barakah serta sentiasa dirahmati Allah.
  • Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga telah menyediakan kemudahan pengangkutan bas percuma SMART Selangor yang banyak membantu pelajar-pelajar KUIS dan masyarakat setempat.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI

  • Sokongan dan komitmen yang jitu dan padu daripada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor yang dipimpin oleh Yang Amat Dihormati Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Bin Mohd Isa sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor telah menjadikan KUIS sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam antara institusi pendidikan tinggi yang unggul di Malaysia.
  • KUIS amat memerlukan sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor serta masyarakat agar hasrat sebagai sebuah Universiti akan dicapai.

PARA HADIRIN DAN HADIRAT YANG DIHORMATI,

  • Sebagai sebuah IPT, KUIS telah melalui peningkatan yang signifikan dalam dunia akademik. Dalam pertandingan penyelidikan PENCIPTA 2017, pensyarah KUIS telah memenangi pingat perak dan gangsa hasil daripada dana penyelidikan KUIS. Dalam penyelidikan, KUIS telah memperuntukkan RM1.5 juta dana penyelidikan kepada ahli akademik KUIS untuk tahun 2017. Salah satu kajian yang memberikan impak besar kepada sistem kewangan Islam ialah Kajian Sadaqa House bersama dengan Bank Islam dan IRCIEF, KUIS. Terma Sadaqa House ini telah dimasukkan dalam Kertas Strategik Bank Negara 2017.
  • KUIS juga sangat aktif dalam penganjuran seminar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan kerjasama IPT dalam dan luar negara. Sinergi ini telah menjadikan KUIS dikenali oleh ilmuwan dan masyarakat serta memberikan sumbangan kepada pembangunan ummah.
  • Diperingkat antarabangsa, perjanjian persefahaman MOU dengan IPT luar telah membuka era baru kepada KUIS dalam dunia akademik. Pertukaran pelajar dan pensyarah, penerbitan persidangan, penyelidikan dan perundingan akan dipergiatkan dengan IPT luar negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Turki dan Jepun.
  • Selain itu, 4 orang pelajar Fakulti Pengurusan dan Muamalah juga telah dipilih sebagai DUTA Emerald KUIS dan seorang daripada mereka telah dipilih sebagai pembentangan dalam Emerald Librarian Conference 2017. Pada 21hb Oktober 2017 pelajar KUIS Muhammad Khairi Maidin telah menjadi juara tilawah Al-Quran antara universiti yang dianjurkan oleh YPIEM. Pelajar TESL Fak Pendidikan KUIS telah menjadi juara dalam Bangi Invitational Debate Competition 2017.
  • KUIS juga mendapat sokongan daripada pihak swasta yang memberikan biasiswa kepada pelajar terpilih. Pihak Kumpulan Karangkraf telah menyediakan biasiswa sebanyak RM1 juta membiayai pengajian di KUIS. Terkini Bank Rakyat telah menawarkan skim Biasiswa Penuh Zamalah Pascasiswazah untuk 3 pelajar PhD dalam bidang Pengajian Islam yang berjumlah RM415,450. Pihak KUIS amat mengalukan-alukan sebarang sokongan yang boleh disalurkan melalui Yayasan KUIS dan Bahagian Zakat, Wakaf & Infaq KUIS.

PARA GRADUAN YANG DIKASIHI

  • Graduan dan Alumni KUIS adalah duta penting dalam masyarakat yang boleh membantu membangunkan KUIS di masa hadapan. Saya menyeru semua Graduan dan Alumni KUIS menjadi sebagai penyumbang tetap kepada dana wakaf KUIS dan zakat KUIS. Ini dapat membantu pelajar-pelajar KUIS yang memerlukan bantuan. Harapan saya, usaha ini mempercepatkan hasrat KUIS mencapai impian sebagai Universiti Wakaf yang terulung di Negeri Selangor.
  • Tahniah sekali lagi kepada semua graduan KUIS yang telah berjaya menamatkan pengajian.  Ijazah dan diploma yang diterima pada hari ini adalah permulaan perjalanan kita yang lebih mencabar. Semoga para graduan KUIS  akan berjaya di dalam bidang yang diceburi.

Pesanan Saya buat para graduan yang dikasihi:

Berjalan biarlah sampai ke batas, berlayar biarlah sampai ke pulau. Kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang”.

Tahniah dan Selamat Maju Jaya Buat Saudara Saudari dalam Menempuh Kehidupan seterusnya khususnya di alam pekerjaan.

 

SEKIAN,

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…