YBhg. Prof Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri
Rektor
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor


“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Surat Ar-Ra'd ayat 11

 
Segala pujian hanya bagi Allah SWT yang memberikan nikmat dan rahmat kepada kita. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat di dalam sejarah peradaban manusia berpandukan wahyu Ilahi.

Tahun 2016 masihi telah melabuhkan tirainya, kini tahun 2017 muncul dengan semangat dan azam yang baru buat semua warga KUIS supaya menjadikan tahun baru ini sebagai tahun yang lebih bermakna untuk mencapai kecemerlangan.

Hadirnya tahun 2017 dengan pelbagai cabaran ditambah pula situasi ekonomi yang tidak menentu memerlukan kita bekerja lebih keras dan cekal menghadapi halangan mendatang. Sebagai pegawai KUIS, kerja adalah menjadi satu ibadah jika ikhlas, mengikut segala peraturan dan bersungguh di dalam segala pekerjaan kita. Ia selaras dengan hadis riwayat al-Baihaqi yang bermaksud  yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqan atau bersungguh-sungguh (sempurna).”

Di dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan di dalam pekerjaan, kita perlu berkerja sebagai satu pasukan. Konsep ingat mengingati, lengkap melengkapi dan kebersamaan di dalam sebarang perkerjaan kerana kita tidak akan kuat sekiranya kita tidak bersatu. Semua pegawai KUIS hendaklah berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik walaupun kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang.

Ketidaktentuan keadaan ekonomi telah memberi impak kepada semua organisasi termasuk Institusi Pengajian Tinggi dan KUIS. Sehubungan itu, kita sewajarnya bersedia dengan apa jua cabaran dengan perubahan budaya kerja yang lebih cekap dan berkesan serta mengamalkan perbelanjaan secara berhemat seperti mengelakkan sebarang pembaziran dan menggalakkan operasi secara elektronik atau paperless.

Jumlah pelajar KUIS pada tahun 2017 disasarkan mencapai 12,000 orang pelajar keseluruhannya. Bagi mencapai matlamat tersebut, usaha penawaran program baru di KUIS perlu diperluaskan khususnya di peringkat Asasi berjumlah 1,500 orang pelajar, Sarjana muda meningkat kepada 7,000 orang pelajar, di peringkat pasca siswazah berjumlah 200 orang dan selebihnya pelajar di peringkat Diploma.

Pendidikan bukan sahaja mendidik akal tetapi juga membangunkan jiwa insan yang bertakwa kepada Allah swt. Pegawai akademik dan tenaga pengajar memainkan peranan sebagai Murabbi di dalam memupuk pembentukan akhlak dalam kalangan pelajar KUIS. Walaubagaimanapun, tanggungjawab untuk memantau dan menegur pelajar yang melakukan perkara yang menyalahi peraturan bukan merupakan tugas Bahagian atau individu tertentu sahaja tetapi adalah tanggungjawab bersama semua pegawai KUIS.

Justeru, saya bersama pengurusan KUIS menyeru kepada pensyarah, pelajar dan warga kerja KUIS agar marilah kita bersama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar kita dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan sehingga terlaksananya perancangan yang telah direncanakan serta dilindungi daripada sebarang musibah.

Selamat menyambut tahun baharu 2017 Masihi. KUIS milik kita bersama.

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’