YBhg. Prof Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri
Rektor
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

7 BUDAYA MALU & KEUNIKAN PUZZLE 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala pujian hanya bagi Allah SWT yang memberikan nikmat dan rahmat kepada kita. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat di dalam sejarah peradaban manusia berpandukan wahyu Ilahi.

Tahun 2017 masihi hampir melabuhkan tirainya, kini tahun 2018 akan muncul dengan semangat dan azam yang baru buat semua warga KUIS supaya menjadikan tahun baru ini sebagai tahun yang lebih bermakna untuk mencapai kecemerlangan.

Sebagai pegawai KUIS, kerja adalah menjadi satu ibadah jika ikhlas, mengikut segala peraturan dan bersungguh di dalam segala pekerjaan kita. Justeru dengan kemunculan tahun 2018 ini marilah bersama-sama kita menerapkan Tujuh (7) Budaya Malu dalam kalangan pegawai KUIS bagi mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan iaitu:

1. Malu Datang Lambat

2. Malu Cepat Pulang

3. Malu Tidak Berprestasi

4. Malu Melanggar Peraturan

5. Malu Berkata Perkara Keji

6. Malu Berpakaian Selekeh

7. Malu Berakhlak Tidak Sopan

Untuk mencapai kecemerlangan di dalam organisasi, kita perlu bekerja sebagai satu pasukan dan menjalankan fungsi dan peranan masing-masing. Manusia juga ibarat puzzle. Setiap daripada kita mempunyai keunikan personaliti yang tersendiri. Hasil daripada kerjasama dan sinergi antara manusialah yang menjadikan kehidupan kita lebih jauh bermakna. Ibarat puzzle yang berlainan bentuk, berbeza posisi sekiranya digabung-jalinkan dan diletakkan pada tempat yang sepatutnya, akan memberikan satu gambaran baru yang jauh lebih besar, menarik dan jelas.

Firman Allah SWT “Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berjuang di jalanNya, dalam barisan yang seperti satu binaan yang tersusun rapi.” (Surah As-Saff : 4).

Justeru, saya menyeru kepada pensyarah, pelajar dan warga kerja KUIS agar marilah kita berganding bahu dan bekerjasama di dalam membangunkan KUIS sebagai sebuah institusi pendidikan yang menyediakan pendidikan Islam kepada masyarakat sebagai tuntutan fardhu kifayah dan meletakkan ketinggian ilmu sebagai asas pembangunan insan dan kemajuan negara.

SELAMAT TAHUN BARU 2018

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’