YBhg. Prof Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri
Rektor
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

 

Allah SWT berfirman di dalam Al-Qur’an, yang bermaksud:
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja setelah mereka) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya (dengan itu) Allah mengetahui orang-orang yang dusta (di kalangan mereka)”.
- Surah Al-Ankabut, ayat 2-3

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat manusia sehingga akhir zaman.

Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya. Kini muncul pula tahun 2019, yang mana seperti biasa kita akan memperbaharui semangat dan azam supaya tahun baru ini menjadi lebih bermakna dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi sama ada membuat perubahan pada diri ataupun organisasi.

Keadaan ekonomi negara yang dijangkakan kurang stabil pada tahun 2019 menuntut untuk kita sebagai warga KUIS bersiap siaga untuk menghadapi pelbagai situasi dengan berusaha mengamalkan langkah-langkah penjimatan dan juga berbelanja dengan penuh berhemat.

Daya pemikiran kritis perlu mula dicakna dengan menawarkan program baharu yang lebih berdaya saing dan mengalakkan penajaan program yang mempunyai kolaborasi dengan institusi luar agar ianya lebih mantap dan menjadi model yang diterajui oleh KUIS.

Program-program pasca siswazah seperti Sarjana dan PhD juga perlu disebarluaskan dengan memastikan KUIS mampu melahirkan cendekiawan Islam yang terbaik bertepatan dengan “Disini lahirnya…Dai’e, Ulama dan Umara’.” Perancangan yang rapi perlu diperkemas oleh semua fakulti bersama-sama PPS supaya program pasca siswazah KUIS menjadi pilihan utama dengan pelbagai pakej yang menarik minat pelajar dari dalam dan luar negara.

Melalui hubungan antarabangsa yang telah sedia terjalin pula perlu diperkukuhkan dengan mempergiatkan lagi usaha-usaha mempromosikan KUIS serta mengembangkan sayap KUIS ke peringkat global dan nasional agar KUIS mampu mencapai hasrat sebagai universiti wakaf dan universiti penuh. Tidak akan tercapai hasrat sebagai Universiti Wakaf seandainya tiada sokongan yang mantap daripada kita semua warga KUIS. Malah status Universiti juga sukar dicapai jika kita warga KUIS tidak fokus dan memberikan sokongan padu dalam mengharungi Revolusi Industri 4.0 dan pendidikan Abad Ke-21.

Melalui Pelan Strategik KUIS Fasa II (2019-2023) yang akan dijadikan penanda aras kepada prestasi semasa dan hala tuju KUIS dalam tempoh 5 tahun akan datang perlu diambil perhatian oleh semua warga KUIS dan memberikan komitmen yang terbaik demi kecemerlangan KUIS di masa akan datang.

Sebagai pegawai KUIS, kita berpegang bahawa kerja adalah satu ibadah. Semangat kerjasama dan saling lengkap-melengkapi perlu disemai dan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Marilah sama-sama kita kikis sikap “keakuan” yang ada dalam diri kita kerana “alone we can do so little, together we can do more”. Sentiasalah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan mengharapkan keredhaan Allah Taala.

Jumlah pelajar baharu KUIS pada tahun 2019 disasarkan sebanyak 5,000 orang. Bagi mencapai matlamat tersebut, semua warga KUIS perlulah berganding bahu untuk memastikan sasaran tersebut mampu dicapai. Kempen 1 staf: 2 pelajar perlu diperkasakan kerana pada tahun-tahun yang akan datang, KUIS mensasarkan kemasukan luar negara dan pelajar- pelajar non-muslim yang ingin melanjutkan pengajian di KUIS. Tugas mempromosikan KUIS perlu digalas oleh kita bersama semua warga KUIS. Sesungguhnya, kesinambungan kehebatan KUIS terletak kepada murabbi yang mendidik sehingga terlahirnya generasi hebat selain pegawai serta kakitangan yang memberikan perkhidmatan terbaik.

Justeru, saya bersama pengurusan KUIS menyeru kepada semua pensyarah, pelajar dan warga kerja KUIS agar sama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar kita sentiasa dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Semoga segala perancangan yang telah direncanakan dapat direalisasikan dengan jayanya dan dilindungi daripada sebarang keburukan.

Selamat menyambut tahun baharu 2019 Masihi.

KUIS Peneraju Tradisi Ilmu

#KUIS milik kita bersama

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’