YBhg. Prof Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri
Rektor
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

 

Allah SWT berfirman di dalam Al-Qur’an, yang bermaksud:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan…”
- Surah al-Taubah:105

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat manusia sehingga akhir zaman.

Tahun 2020 adalah tahun yang bersejarah buat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) iaitu menyambut ulangtahun Jubli Perak penubuhannya yang ke 25. KUIS yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) telah berjaya melahirkan seramai 20,890 graduan dalam pelbagai disiplin ilmu dan bidang kepakaran. Hasrat untuk melahirkan Dai’, Ulama Dan Umara’, merupakan cita-cita KUIS yang sentiasa menjadi keutamaan kepada semua warga kerja KUIS. Sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam, tugas utama KUIS adalah untuk memberikan sumbangan maksima kepada pembangunan ummah berteraskan kepada “Peneraju Tradisi Ilmu”.

Pelbagai pencapaian yang diraih oleh KUIS di sepanjang tempoh penubuhannya baik dari segi akademik, pengurusan dan mendapat pengiktirafan daripada agensi-agensi di dalam dan luar negara. Pencapaian dalam bidang akademik termasuklah pengiktirafan program-program pengajian, projek-projek penyelidikan, pembentangan dan penganjuran seminar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. KUIS juga meluaskan jaringan dengan penawaran program-program pengajian yang dijalankan secara usahasama francais, jaringan kerjasama (MoU/MoA) di dalam dan luar negara dan juga program-program khidmat ummah yang giat dijalankan pada setiap tahun.

Pada tahun ini, KUIS mensasarkan seramai 12,000 orang pelajar mendaftar dalam berbagai peringkat pengajian bermula daripada matrikulasi sehinggalah PhD. Bagi mencapai matlamat tersebut, penaiktarafan KUIS ke status Universiti Penuh adalah menjadi usaha utama untuk tahun 2020. Saya menyeru agar kita saling terus berganding bahu untuk memastikan sasaran tersebut mampu dicapai dan tentunya tugas memperkenalkan nama KUIS perlu digalas bersama. Sesungguhnya, penaiktarafan ke Universiti Penuh bukanlah hanya perubahan status ‘universiti’ sahaja malah memerlukan kepada perubahan minda, kualiti dan budaya kerja yang cemerlang. Komitmen semua ahli akademik, pegawai dan kakitangan KUIS sangat diperlukan untuk memastikan kejayaan KUIS pada masa hadapan yang lebih gemilang.

Untuk mencapai kecemerlangan, kita perlu bekerja sebagai satu pasukan dan menjalankan fungsi dan peranan masing-masing. Ibarat jigsaw puzzle yang berlainan bentuk, berbeza posisi sekiranya digabung-jalinkan dan diletakkan pada tempat yang sepatutnya, akan memberikan kesan yang besar kepada kejayaan KUIS, Inshaa Allah.

Justeru, saya dan seluruh pengurusan KUIS; seluruh barisan kepimpinan di peringkat fakulti dan bahagian, menyeru kepada semua ahli akademik, pegawai, kakitangan, pelajar dan seluruh warga kerja KUIS agar terus berusaha dan bersama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar kita sentiasa dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Semoga segala perancangan yang telah direncanakan dapat direalisasikan dengan jayanya dan dilindungi daripada sebarang keburukan.

Selamat menyambut tahun baharu 2020 Masihi.

KUIS milik kita bersama

KUIS Peneraju Tradisi Ilmu

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’