Disediakan oleh :
Fakulti Pengurusan dan Muamalah

11 Februari, KAJANG : Seramai 20 orang mahasiswa dari Sekolah Tinggi ilmu Ekonomi (STIE) Ekuitas, Bandung telah selesai mengikuti Program Pertukaran Pelajar 2019 selama 13 hari di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Delegasi pelajar bersama empat orang pensyarah pengiring telah tiba di Malaysia pada Isnin 11 Februari 2019 lalu bagi meneruskan jaringan kerjasama antara KUIS – STIE Ekuitas yang telah bermula sejak 2015. Program pertukaran pelajar ini merupakan program kali keempat dianjurkan hasil kerjasama kedua-dua institusi pengajian tinggi ini di samping program kerjasama lain melibatkan pertukaran pensyarah dan penelitian bersama.

Program ini telah dirasmikan oleh Profesor Dato’ Dr. Ab. Halim bin Haji Tamuri, Rektor KUIS, dengan disaksikan bersama oleh Dr. Martha Fani Cahyadinto, Rektor STIE Ekuitas, Pengurusan KUIS, mahasiswa dan mahasiswi KUIS dan STIE Ekuitas.

Sepanjang tempoh hampir dua minggu program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dirangka dalam memberikan pendedahan secukupnya kehidupan sebagai mahasiswa KUIS. Pelajar-pelajar dari STIE Ekuitas berpeluang mengikuti kuliah, lawatan ke konti radio KUIS.fm di samping lawatan-lawatan akademik dan bukan akademik di sekitar tempat menarik di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pelajar-pelajar ini juga turut diperkenalkan dengan suasanaa berpuasa dan berbuka di Masjid Al-Azhar KUIS selain aktiviti berkayak di Tasik KUIS.

Ternyata pelajar-pelajar dari STIE Ekuitas khususnya dan KUIS amnya mendapat pengalaman bermanfaat yang menjadi kenangan terindah yang tidak harus dilupakan. Rombongan pelajar dari KUIS akan mengadakan kunjungan balas ke STIE Ekuitas Bandung pada 15-26 April 2019.

ekuitas 01ekuitas 02ekuitas 03ekuitas 04