Assalamualaikum wrt. wbth. dan Selamat Pagi kepada semua warga KUIS dan ahli keluarga yang dikasihi.

Apa khabar semua? Saya doakan agar sahabat-sahabat semua berada dalam keadaan yang baik, sihat dan sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah swt . Terus bersemangat serta tabah dalam memasuki hari yang ke-31 PKP/MCO Fasa Ketiga. Kita berdoa agar wabak COVID-19 yang melanda negara kita dan seluruh dunia akan segera berakhir.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, hari ini pada jam 8.30 pagi jumlah kes jangkitan COVID-19 ini semakin meningkat dengan jumlah 2,180,968 kes dan jumlah kematian pula mencecah jumlah 145,454 di seluruh dunia. Wabak COVID-19 yang bahaya ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia dan ia memang sangat mengejutkan kita semua. Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, dalam menangani kesan wabak ini, kita mesti bertindak dan melakukan langkah-langkah yang diluar daripada kebiasaan kita selama ini. Apabila kita kembali bertugas selepas PKP/MCO ditamatkan, kita perlu bersedia dengan norma kehidupan baharu, budaya berfikir serta cara tata cara kerja baharu. Ingin saya ulangi lagi bahawa kehidupan kita selepas ini tidak seperti sebelumnya dan PKP/MCO yang kita lalui sebenarnya seharusnya dapat menyiapkan diri kita menghadapi cabaran pasca COVID-19 yang sangat mencabar.

Sebagaimana yang dimaklumi, KUIS telah melancarkan Tabung COVID-19 yang objektif utamanya ialah untuk membantu warga KUIS yang memerlukan sokongan dan bantuan khususnya pada pasca COVID-19. Saya memohon jasa baik dan merayu kepada semua untuk menyumbangkan bantuan dan derma kita kepada Tabung COVID-19 KUIS berdasarkan kemampuan kita. Saya juga memohon untuk sahabat-sahabat semua menyebarluaskan rayuan Tabung COVID-19 KUIS kepada rakan-rakan, kenalan-kenalan dan ahli masyarakat supaya dapat bersama-sama menyumbang dan memberikan sokongan kepada Tabung COVID-19 KUIS. Saya memahami kesukaran yang kita hadapi bersama, namun jika ada yang berkemampuan, ayuh sumbangkanlah derma anda kepada Tabung COVID-19 KUIS.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua staf KUIS yang aktif dan terus memperkenalkan KUIS melalui media sosial peribadi masing-masing. InsyaAllah pihak MARCOM akan menyalurkan maklumat yang berkaitan dan memberikan tindakan-tindakan selanjutnya selepas ini. Banyak perkara lagi yang perlu kita lakukan bersama demi kelangsungan KUIS dan kesemua ini akan mudah dilaksanakan jika kita saling bermuafakat sebagai satu keluarga, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. STAY AND WORK AT YOUR HOME.

Ayuh sahabat-sahabat semua, kita teruskan usaha dan ikhtiar kita demi masa hadapan KUIS yang lebih cemerlang. Yakinlah, sesungguhnya akan wujud kebaikan dan kecemerlangan selepas sesuatu kesukaran dan kesusahan. Janganlah kita merasa gelisah, gundah gulana dan tertekan kerana ini semua adalah dugaan daripada Allah swt . Berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah swt.

Sahabat-sahabat semua, apa yang paling penting ialah kita mantapkan ukhuwwah, saling bekerjasama dan bantu-membantu dalam keadaan kritikal ini. Sebagai keluarga besar KUIS, kita akan sentiasa saling memberikan sokongan kepada rakan-rakan kita, terutama kepada mereka sedang bertugas di KUIS masa ini. Jangan lupa untuk bertanya khabar berita kepada pelajar-pelajar yang berada jauh di rumah atau kampung halaman mereka. Terima kasih atas sokongan semua dan semoga Allah swt memberikan kebaikan kepada kita.

Jaga kesihatan anda dan keluarga. STAY AT YOUR HOME, STAY IN, STAY SAFE.

Terima kasih.

Ab. Halim bin Tamuri
Rektor KUIS
8.30 pagi 17 April 2020
Bandar Baru Bangi