PROFESOR DATO’ DR. AB. HALIM BIN TAMURI

RAMADAN MADRASAH TARBIYYAH DAN HIKMAH DI SEBALIK UJIAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Ramadan Kareem! Allahu Akram!

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya jua kita diberikan lagi perluang bertemu sekali dengan bulan yang mulia iaitu Ramadhan Al-Mubarak 1441H. Walaubagaimanapun, Ramadan kali ini pasti sangat berbeza daripada sebelum ini kerana kita hanya berpuasa di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian virus Covid 19 dan ini yang disifatkan oleh YAB Perdana Menteri kita sebagai Norma Baharu (The New Normal) pasca PKP. Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, tempoh PKP ini telah dilanjutkan sehingga 12hb Mei 2020 (Fasa keempat). STAY AT YOUR HOME.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, sebagaimana yang kita maklum, pensyariatan puasa telah dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”

Ramadan adalah bulan yang sangat indah dan cukup istimewa di hati orang yang beriman. Inilah Madrasah Tarbiyyah dengan modul latihan yang terbaik dalam mencapai objektif لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ iaitu bagi melahirkan generasi yang muttaqin dan mempunyai jatidiri yang tinggi bagi berdepan dengan cabaran tambahan pula dengan ujian getir ancaman virus Covid 19 yang sedang melanda seluruh dunia pada saat ini.

Manfaatkanlah Ramadan ini dengan melihat perkara yang baik dan berikan perkara yang positif seperti merapatkan ukhuwah sesama kita, amalan membaca Al-Quran, Tafsir, Hadith, mendengar kuliah melalui dalam talian seperti Youtube, Instragram, dan memperbanyakkan bersedekah. Dalam masa yang sama hindarkan diri daripada perkara-perkara negatif, mengadu domba dan fitnah terutama melalui media sosial.

Sahabat-sahabat semua, sudah tentu apabila masuk sahaja bulan Ramadan, kita pasti merindui suasana di KUIS dengan bertadarrus, iftar jamaie, solat tarawih berjemaah, bersahur bersama dan beriktikaf di Masjid Al-Azhar tetapi kali ini sangat berbeza. Sehubungan itu, saya berharap agar semua pegawai dan pelajar KUIS dapat luangkan masa ini mengimarahkan Ramadan iaitu mendekatkan diri kita pada Allah swt dengan berpuasa, solat fardhu dan solat sunat tarawih berjemaah bersama keluarga masing-masing di rumah. Kita berdoa dengan berkat Ramadan ini agar wabak COVID-19 yang kita sedang hadapi ini segera diangkat dan segala urusan berkaitan dipermudahkan.

Untuk makluman, Tabung Khas Covid 19 peringkat KUIS telah dilancarkan seawal penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Saya mengambil kesempatan ini menyeru agar semua pegawai KUIS, pelajar atau orang awam yang berkemampuan agar dapat menyumbang atau sekurang-kurangnya membuat hebahan berkaitan tabung tersebut. Hasil kutipan tersebut adalah untuk membantu meringankan beban pelajar dan kakitangan KUIS terutamanya yang tergolong dalam kategori B40 yang terjejas sumber pendapatan berikutan penguatkuasaan PKP.

Banyak hikmah daripada kehadiran Ramadan di kala kita menghadapi ujian. Firman Allah di dalam Surah Ibrahim ayat 34 :

وَءَاتَىٰكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُۚ وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآۗ إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
“Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”

Seharusnya kita bersyukur dan merasa sangat beruntung kerana masih diberikan anugerah atau nikmat terindah oleh Allah untuk melalui bulan Ramadhan pada kali ini sedangkan ada dalam kalangan keluarga dan sahabat kita telah dijemput Ilahi sebelum sempat melaluinya. Hikmah Ramadan dalam penguatkuasaan PKP pada kali ini juga dapat menyelamatkan pembaziran makanan bernilai jutaan ringgit seperti yang dilaporkan sebelum ini. STAY AT YOUR HOME.

Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUIS yang terus memberikan komitmen dengan berusaha, berjuang dan berkorban bersama-sama sebagai satu pasukan untuk mempromosi serta membangunkan KUIS sebagai IPT yang semakin dikenali dan menjadi lebih cemerlang dalam melahirkan Da'i, Ulama dan Umara dan. Ingatlah, kita selaku warga KUIS bukan untuk bersaing, tetapi kita adalah saling melengkapi (To complete not to compete).

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dr. Mokmin Basri, Dekan-dekan, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Program dan pensyarah-pensyarah KUIS kerana berjaya melaksanakan pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran secara atas talian dengan jayanya semasa tempoh PKP dikuatkuasakan. Kita akan teruskan dan memperluaskan pengajaran-pembelajaran secara atas talian dalam program-program yang ditawarkan. Terima kasih saya ucapkan kepada pelajar-pelajar KUIS yang memberikan sokongan dan kerjasama yang amat baik dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Mewakili pihak Pengurusan KUIS, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua mahasiswa, pensyarah, pegawai dan seluruh warga KUIS agar dapat melalui madrasah tarbiyyah ini dengan nikmat Iman dan Islam. Semoga Ramadan kali ini memberikan kejayaan di dunia dan akhirat kepada semua warga KUIS dan sentiasa dimurahkan rezeki.

Di Sini Lahirnya... Da'i, Ulama & Umara’

Ab. Halim Tamuri
6.20 pagi 24 April 2020, Bandar Baru Bangi
#ramadankareem #stayathome #staysafe