Assalamualaikum wrt. wbth. dan Selamat Pagi semua.

Apa khabar semua warga KUIS yang dikasihi? Semoga kita terus semangat dan kuat dalam melalui PKPB dan dalam menjalani Ibadah Ramadhan. Pastinya Ramadhan kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Program Iftar setiap hari di masjid al-Azhar, Iftar Jama'ie dan solat tarawih yang kita lakukan pada tahun-tahun sebelum ini tidak dapat dilaksanakan pada tahun. Namun, apa yang pasti, ibadah Ramadhan yang kita lakukan tahun ini amat bermakna buat kita semua kerana kita dapat melaksanakan ibadah solat tarawih, membaca al-Quran, bertadarus, Qiamullail, dan solat berjemaah bersama keluarga yang tercinta. Lakukanlah dengan sebaik mungkin dalam ruang dan masa yang diberikan kali ini dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Begitu juga sambutan IdulFitri tahun ini, kita hanya dibenarkan untuk berziarah dalam satu negeri untuk Hari Raya Pertama sahaja dan perjalanan merentas negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali. Kita perlu membiasakan diri dengan norma-norma baharu kerana ianya adalah sebagai ikhtiar yang berterusan untuk memutuskan rangkaian COVID-19. Sebagaimana kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, tempat yang paling selamat adalah rumah kita maka STAY AT YOUR HOME.

Berdasarkan Pekeliling KPT pada 3 /5/2020 dan Arahan Ketua Pengarah Kesihatan PERATURAN 11 P.U.(A) 136/2020 yang bertarikh 6 /5/2020, semua IPT adalah masih ditutup sehinggalah satu pemakluman yang akan dibuat dan hanya beberapa sektor yang dibenarkan bekerja dengan jumlah kakitangan yang terhad (Sila Rujuk Pekellilng Pendaftar bertarikh 11/5/2020). KUIS telah memberi kelonggaran untuk menggunakan waktu kerja fleksi dan menggalakkan bekerja dari rumah. Ini adalah dengan mengambil kira urusan atau tugasan pegawai berkenaan tidak memerlukan keberadaan pegawai di pejabat pada setiap masa atau sepanjang tempoh yang ditetapkan. Selain itu aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan sebarang bentuk perhimpunan sehinggalah satu pengumuman rasmi daripada pihak KPT.

Sahabat-sahabat yang dihormati, pada 10.15 pagi ini, jumlah jangkitan COVID-19 telah mencecah 4,429,218 orang dengan kes kematian seramai 298,165. Ini menunjukkan bahawa pendamik COVID-19 ini adalah sangat bahaya dan kita wajib berusaha sebaik untuk mencegah penyebaran dan jangkitan virus ini. Kita sama sekali tidak boleh lalai dan mengambil ringan walaupun data COVID-19 di Malaysia mula mendatar.

Apa yang membimbangkan ialah jangkitan virus ini boleh meningkat dengan begitu cepat jika kita mengabaikan penjagaan kesihatan dan penjarakan sosial. PKPB telah pun dilanjutkan sehingga 9/6/2020 dan patuhi segala arahan dan SOP sepenuhnya dan STAY AT YOUR HOME.

Teruskan doa dan munajat kita kepada Allah swt agar pandemik COVID-19 segera berakhir. Semoga kita diberikan kebaikan dan pelindungan daripada segala keburukan.

STAY AT YOUR HOME, STAY IN, STAY SAFE

Ab. Halim Tamuri
Rektor KUIS
10.25 Pagi 14 Mei 2020
Bandar Baru Bangi