Assalamu'alaikum wrt. wbth. dan Selamat Pagi kepada semua warga KUIS.

Semoga anda terus kuat dan tabah dalam mengharungi satu keadaan yang sangat mencabar dalam kehidupan kita.

Apa khabar sahabat-sahabat dan ahli keluarga semua? Kita semua sentiasa berdoa agak wabak COVID-19 segera berakhir dan kita terselamat daripada ancaman yang sangat merbahaya ini. Semalam, YAB Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa Movement Control Order (MCO) dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Kita mesti menerima dan patuh kepada arahan ini demi usaha kita semua menangani COVID-19. Kita tidak ada pilihan lain melainkan untuk kita akur dan patuh arahan ini.

Saya sendiri mengakui yang saya sedang melalui satu fasa perubahan budaya kehidupan baharu dan insyaAllah kita dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Bersabar dan tabah demi kebaikan diri dan keluarga kita serta seluruh rakyat Malaysia. Sehingga jam 10.28 pagi kes coronavirus yang tercatat adalah sebanyak 471,060 dengan 21,283 kes kematian di seluruh dunia. STAY AT YOUR HOME.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, pandemik COVID-19 ini telah pun memberi kesan yang besar kepada kita pada masa ini, tetapi yang perlu difikirkan juga ialah kesan yang akan kita hadapi pada fasa selepas atau pasca COVID-19. COVID-19 pasti akan memberikan impak kepada keadaan ekonomi, kewangan, sosio-budaya dan gaya hidup kita.

Domino effect yang kita jangkakan adalah sangat besar dan kita semua mesti bersedia daripada sekarang kerana melibatkan impak ekonomi dan kewangan untuk jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang di seluruh dunia. InsyaAllah kita akan lalui bersama kesukaran ini dengan tabah dan kesabaran. Berusaha, bertawakkal dan berdoa kepada Allah swt dan yakinlah ada sinar yang lebih cerah untuk KUIS pada masa hadapan. SATU ASPIRASI SATU HALA TUJU kita akan terus maju ke hadapan.

Dalam tempoh Movement Control Order (MCO), teruskan usaha sahabat-sahabat semua untuk memperkenalkan KUIS kepada bakal-bakal pelajar secara talian dengan menggunakan media sosial ada secara aktif dan berkesan. Semua kakitangan akan dilibatkan dalam program memperkenalkan KUIS dan pihak MARCOM akan menyalurkan maklumat yang berkaitan dari masa ke semasa.

Selain itu, kita juga akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berasaskan talian dengan lebih luas lagi . Sehubungan itu, semua kakitangan akademik perlu menyediakan modul, bahan pengajaran dan pembelajaran, serta kaedah pentaksiran berasaskan talian yang dijadikan sebagai salah satu mekanisme utama pendidikan demi kelangsungan pengajaran dan pembelajaran di KUIS.

Teruskan kehidupan harian kita dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Kita akan hadapi bersama dugaan ini, InsyaAllah kita akan berjaya melaluinya.

STAY AT YOUR HOME

Sekian terima kasih.

Ab. Halim Tamuri
Rektor KUIS
10.30 pagi, 26 Mac 2020
Bandar Baru Bangi