Assalamualaikum wrt. wbt.

Apa khabar semua warga KUIS yang dirahmati Allah swt? Bagaimana dengan keadaan keluarga dan juga anak-anak? Saya berdoa agar kita semua sentiasa diberikan pelindungan oleh Allah swt, sentiasa tabah dan sabar dalam melalui dugaan yang kita sama-sama sedang lalui. Esok merupakan hari ke-13 kita berada dalam tempoh Movement Control Order (MCO) yang dijadualkan berakhir pada 14/4/2020.

Sahabat-sahabat semua, seperti mana dalam kenyataan saya sebelum ini, kita mestilah mematuhi sepenuhnya arahan pihak KMM dan kerajaan kerana jumlah jangkitan COVID-19 masih berterusan dan kemungkinan peningkatan kes akan berterusan jika kita ingkar dengan nasihat dan arahan pihak berkuasa.* Kawalan pihak berkuasa juga semakin diperketatkan dan saya perlu mengingatkan agar kita tidak keluar rumah jika tiada keperluan yang sangat penting dan mendesak. Ini merupakan ikhtiar untuk mengawal dan memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. STAY AT YOUR HOME, STAY IN, STAY SAFE InsyaAllah. Kesyukuran kepada Allah swt kerana kita masih berada di rumah dengan kemudahan yang ada dan makanan yang mencukupi dalam tempoh Movement Control Order (MCO) ini. Semoga Allah terus melindungi kita dan mempermudahkan urusan kita.

Sehubungan itu, marilah kita semua bermunajat bersama-sama sebagaimana yang disarankan dalam program Rakyat Selangor Berdoa yang dijadual pada Isnin 30/3/2020 dan Khamis 2/4/2020 jam 8.50 malam di rumah masing-masing.

Kita teruskan tugas-tugas harian seperti biasa di rumah work at home. Dipohon kepada semua Dekan, Pengarah dan Ketua Bahagian memantau dan memastikan tugas-tugas yang perlu dilakukan. Agihan tugas, penjadualan kerja dan pembahagian tanggung jawab perlu dirancang agar ia terlaksana sebaiknya. Di samping itu, penggunaan media sosial dan aplikasi komunikasi terkini sangat digalakkan untuk digunakan dalam situasi semasa.

Ayuh sahabat-sahabat semua, kita perlu terus kuatkan semangat dalam menghadapi ujian ini. InsyaAllah, kita lalui dengan penuh keyakinan dan bertawakkal kepada Allah swt, Kita mempunyai SATU ASPIRASI SATU HALA TUJU yang kita dokong bersama demi KUIS yang kita sayangi.

Terima kasih. STAY IN, STAY SAFE, STAY AT YOUR HOME.

Ab. Halim Tamuri
Rektor KUIS
9.09 malam 29 Mac 2020
Bandar Baru Bangi

*ANTARA LINK MAKLUMAT SEMASA
https://www.worldometers.info/coronavirus/
https://www.aljazeera.com/
https://www.aljazeera.com/news/2020/03/front-worry-covid-19-spreading-african-refugee-camps-200329054029304.html
https://www.nst.com.my/world/world/2020/03/579139/italys-covid-19-deaths-shoot-past-10000
https://www.bbc.com/news/world-asia-india-52077395
https://edition.cnn.com/world/live-news/coronavirus-outbreak-03-29-20-intl-hnk/index.html