Assalamualaikum wrt. wbth.

Saya doakan agar semua warga KUIS sentiasa berada dalam sihat bersama dengan ahli keluarga samada ada di rumah sendiri atau berada kampung. Bagi yang berada di kampung, terus tinggal di sana sehinggalah tempoh PKP/MCO ini berakhir. STAY AT YOUR HOME.

Hari ini 2/4/2020 merupakan hari ke-16 kita berada PKP dan juga hari ke-2 Fasa II PKP yang dilaksanakan di seluruh negara. Teruskan kehidupan seharian anda dengan penuh kesabaran. Kita perlu korbankan masa dan kebebasan yang kita ada selama ini demi kebaikan dan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya. Yakinlah, ada ganjaran daripada Allah swt atas semua kebaikan, kesabaran dan pengorbanan kita, InsyaAllah. Teruskanlah tugas-tugas anda seperti biasa dan bekerja di rumah.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, impak COVID-19 ini sangat besar kepada kehidupan manusia di seluruh dunia dan kita semua perlu bersedia untuk melalui kesan jangka pendek dan jangka panjang daripada aspek ekonomi dan sosial akibat wabak COVID-19 yang melanda. Berdasarkan keadaan semasa yang kritikal ini, pihak kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Selangor telah menyediakan beberapa insentif dalam pakej ransangan seperti yang diumumkan untuk meringankan bebanan semua lapisan masyarakat. Pihak pengurusan KUIS juga mengambil langkah-langkah yang selaras dengan apa yang diumumkan oleh pihak kerajaan bagi tujuan meringankan kesusahan yang kita hadapi dan perkara-perkara ini akan dimaklumkan kepada Tuan/Puan dari masa ke semasa.

Jumlah kes COVID-19 semakin meningkat di seluruh dunia. Sehingga jam 12.02 pm 2/4/2020 jumlah kes yang direkodkan adalah 935, 957 dengan jumlah kematian sebanyak 46,245 orang. Ini adalah satu keadaan yang sangat kritikal dalam sejarah tamadun manusia semenjak Perang Dunia Ke-2. Maka, kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan berdoa kepada Allah swt, agar wabak ini segera berakhir dan kita terselamat dari wabak yang sangat merbahaya ini. Jangan lupa, malam ini kita bermunajat bersama dalam program Rakyat Selangor Berdoa (Khamis 2/4/2020 jam 8.50 mlm) di rumah masing-masing.

Terima kasih, kuatkan semangat dan tabah dalam mengharungi ujian yang sedang kita lalui.

STAY AT YOUR HOME, STAY IN, STAY SAFE

Ab. Halim Tamuri
Rektor KUIS
12.06 tengah hari, 2 April 2020
Bandar Baru Bangi