Assalamualaikum wrt wbth. dan Selamat Pagi kepada semua warga KUIS.

Apa khabar dan bagaimana dengan dengan ahli keluarga semua? Semoga kita semua diberikan kecekalan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan yang Allah swt berikan kepada kita semua. Semoga kita semua terus tenang dan tabah dalam melalui tempoh MCO/PKP. Selama ini kita telah melalui kesenangan, kebebasan dan kemudahan dalam kehidupan kita, dan wabak COVID-19 ini merupakan satu dugaan mesti kita hadapi dengan penuh kekuatan dan ketakwaan kepada Allah swt.

Hari ini merupakan hari ke-22 kita semua berada dalam tempoh PKP/MCO dan berdasarkan data semasa pendamik COVID-19 terus meningkat di seluruh dunia. China telah pun menunjukkan perubahan yang positif tetapi negara-negara masih terus meningkat jumlah kes positif COVID-19. Sehingga jam 9.08 pagi 8/4/2020 jumlah kes terkini di serata dunia ialah 1,430,516 dengan pertambahan kes kematian sebanyak 81,977 orang.

Sahabat-sahabat yang dikasihi semua, kita semua perlu bersedia menghadapi perubahan dan cabaran pasca COVID-19 yang pada pandangan saya perlu diberikan perhatian secara serius oleh kita semua. Tempoh 6-12 bulan pasca PKP/MCO merupakan tempoh yang kritikal dan perlu diberikan tumpuan oleh kita semua. Terdapat beberapa perkara utama yang perlu diberikan perhatian antaranya:

  1. Penjarakan sosial (social distancing) - Aspek ini perlu diberikan keutamaan semasa kita bertugas, berhubung dengan pelajar, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan pelajar dan pelaksanaan aktiviti-aktiviiti pelajar. Kita perlu bersama-sama menyediakan garis panduan untuk melaksanakan aktiviti harian di KUIS agar selaras dengan keperluan menjaga keselamatan dan kesihatan semua warga KUIS. Suasana kelas juga mungkin berbeza dan aktiviti mahasiswa perlu diubah suai dengan keperluan semasa. Pendaftar bersama-sama dengan Dekan-dekan serta ketua-ketua bahagian akan merangka garis panduan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pensyarah, semua kakitangan serta pelajar terjaga.

  2. Pendaftaran pelajar-pelajar - Perkara ini perlu diberikan perhatian serius secara bersama kerana impak ekonomi daripada wabak COVID-19 dijangka memberikan kesan kepada kemasukan dan pendaftaran pelajar-pelajar di semua IPT di negara kita. Kita perlu menggembeleng idea dan tenaga untuk memastikan pelajar-pelajar akan dapat meneruskan pengajian di KUIS dengan sebaiknya. Teruskan pemasaran secara atas talian dan lakukan hingga ke tahap maksima.

  3. Pengajaran dan pembelajaran berasaskan talian - Pembelajaran konvensional yang sedia digunakan perlu digabungjalin dengan pembelajaran berasaskan teknologi yang terkini. Blended learning yang telah mula digunakan semenjak 2 tahun lalu perlu dikembangkan lagi dengan aktif lagi. Pembangunan sistem, penyediaan modul-modul dan kesesuaian perisian perlu diberikan tumpuan untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan.

  4. Penjimatan perbelanjaan - Aspek ini perlu kita berikan perhatian kerana kesan ekonomi akibat wabak COVID-19 ini sangat besar dan KUIS perlu bersedia dalam apa juga keadaan untuk menghadapinya. Saya akan menubuhkan satu task force yang dianggotai oleh semua pihak yang akan bersama menangani dan mencari jalan terbaik untuk menghadapi cabaran pasca COVID-19. Kita perlu menjangka dan bersedia menghadapi situasi yang kritikal dan bagaimana kita dapat mengatasi dengan cara yang terbaik.

Sahabat-sahabat semua boleh memberi sebarang cadangan dan pandangan terus kepada saya melalui email saya iaitu: tamuri@kuis.edu.my

Semoga kita semua diberikan kebersamaan, kesatuan tindakan dan kekuatan pemikiran untuk melalui dugaan ini. SATU ASPIRASI, SATU HALA TUJU dalam melaksanakan tugas seharian dan kita akan berjaya melalui dugaan ini bersama-sama, InsyaAllah.

Pastikan kita patuhi segala arahan-arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan, STAY AND WORK AT YOUR HOME, STAY IN, STAY SAFE.

Ab. Halim Tamuri
Rektor KUIS
9.09 pagi, 8 April 2020
Bandar Baru Bangi