29 Ogos 2015 (Sabtu) | Pusat Konvensyen KUIS

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسول الله وعلى ءاله وأصحابه أجمعين

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN DAN PARA GRADUAN YANG SAYA HORMATI.

(1) Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor untuk ke sekian kalinya dapat mengadakan Majlis Konvokesyen kali ke 18. Justeru, dengan rasa syukur ke Hadrat Ilahi, kita berkongsi kejayaan para graduan dan kegembiraan para ibu bapa serta penjaga di atas usaha murni di dalam rehlah ilmiah di institusi pendidikan yang tercinta ini. Apa pun sifatnya, Majlis Konvokesyen seperti ini bukanlah sekadar penganugerahan ijazah dan diploma, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita menghayati erti majlis ini dalam konteks hubungan dan rantaian keilmuan antara pelajar dengan guru sebagaimana yang terdapat dalam sistem ijazah dan sanad pengajian tradisi keilmuan kita.

HADIRIN DAN HADIRAT YANG SAYA KASIHI.

(2) Dalam kesempatan ini, izinkan saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Begitu juga, jutaan penghargaan saya sampaikan kepada para ibu bapa, pensyarah dan seluruh warga KUIS yang ikhlas memastikan para graduan menjadi insan yang terpelajar  bagi mengisi ruang dan pelusuk ketamadunan ummah supaya menjadi ummah terbaik  yang dibanggakan.

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN DAN PARA GRADUAN YANG SAYA HORMATI.

(3) Alhamdulillah  dengan  izin Allah swt  kini KUIS  telah menjangkau 20 tahun, dan matlamat penubuhan sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam yang bersifat memenuhi tanggungjawab sosial dan ummah telah mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangun ummah.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

(4) Berpaksikan moto Pemangkin Tradisi Ilmu, dan tema Di Sini Lahirnya Dai’ Ulama dan Umara maka KUIS  terus bergerak secara agresif dan proaktif bagi menuju sebuah universiti yang berkualiti dan melahirkan graduan yang berdaya saing dan kompatatif dalam dunia globalisasi. Menawarkan program pengajian yang 'employability' dan 'marketability' dalam pelbagai bidang bermula daripada Peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah dengan jumlah keseluruhan program sebanyak 49 program yang mendapat kelulusan akreditasi penuh MQA.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

(5) 12 Februari 2015 KUIS telah mengadakan sambutan ulangtahun ke 20 penubuhan KUIS di arena perdana pendidikan negara. Situasi ini telah membuktikan bahawa KUIS telah diterima dan terkesan serta terus relevan dan menjadi pilihan utama di kalangan masyarakat. Hadirnya sudah dirasai setiap umat yang dahagakan ilmu pengetahuan dan peneraju kemajuan generasi akan datang. KUIS telah melahirkan seramai 15,000 graduan yang marketable daripada berbagai disiplin ilmu yang telah berkhidmat dan berbakti dalam perbagai bidang kerjaya.

(6) Dalam kesempatan ini, Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar Selangor yang telah menyediakan bantuan pendidikan kepada mahasiswa yang melanjutkan pengajian di KUIS. Alhamdulillah sebanyak RM12 juta telah disediakan untuk dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor  dan Tajaan Tabung Pendidikan Pengajian Tahfiz Dan Qiraat sebanyak RM 5 juta untuk pelajar tahfiz menjadikan KUIS hub melahirkan para huffaz di peringkat Nasional dan Antarabangsa. Semoga usaha ini akan menjadikan negeri Selangor bertambah makmur dan barakah serta sentiasa dirahmati Allah.

(7)  KUIS terus mengorak langkah memenuhi kewajipan fardhu kifayah mendidik masyarakat tanpa bermotifkan nilai komersil. KUIS adalah sebuah institusi pendidikan ummah yang diamanahkan untuk membangunkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti yang  melahirkan generasi Da’i, Ulama dan Umara. Tanggungjawab ini dimudahkan lagi dengan dana zakat yang mampu membantu kelangsungan survival KUIS setakat ini.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

(8) Sokongan yang jitu dan padu daripada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tuan Muhamad Azmin Bin Ali Dato’ Menteri Besar Selangor, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS dan Yang Amat Dihormati Dato' Setia Haji Mohamad Adzib Bin Mohd Isa Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, yang telah menjadikan KUIS  sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang berkualiti  yang memberikan impak yang positif kepada pembangunan ummah.

(9)  Selain daripada itu sokongan mantap  dalam persiapan KUIS menuju sebuah universiti penuh dalam tempoh tiga tahun amat di perlukan khususnya dari Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

(10)Sebuah ungkapan pernah menyebut:

Barangsiapa ingin mengenggam nasib sesuatu bangsa,maka genggamlah para pemudanya.

(11) Bagi melahirkan generasi pemuda yang menjadi harapan kepada ummah 3 institusi yang sangat penting di dalam membentuk dan mempengaruhi mereka iaitu Pertama: Peranan Institusi keluarga yang bahagia dan harmoni,Kedua: Peranan Institusi Masjid yang menjadi paksi kepada pembangunan insan dan Ketiga: Peranan institusi pendidikan yang mencorak pemikiran dan peradaban. Oleh yang demikian KUIS mengambil tanggungjawab  menyediakan Pendidikan Islam kepada generasi muda agar ianya dapat mewarnai generasi pemuda dengan kehebatan dan ketinggian ilmu.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

(12) KUIS bersama para pensyarah terus memperkasa dalam bidang penyelidikan (R&D) dengan menubuhkan beberapa pusat yang menjurus kepada kepakaran akademik yang menangani isu-isu aqidah dan dakwah dengan  mengadakan siri bengkel, seminar dan konvensyen yang mendepani isu –isu semasa khususnya isu memelihara kesucian agama Islam dan kemajuan ummah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

(13) Rangkaian MoU berkaitan dengan pembangunan akademik di dalam dan di luar negara sedang rancak berjalan dan telah memperlihatkan bahawa KUIS sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang mempunyai rangkaian dan jaringan pendidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

PARA GRADUAN YANG DIKASIHI,

(14) Para graduan mesti menanamkan sikap kepimpinan yang dinamik, amanah dan berintegriti tanpa memikirkan ganjaran dan habuan yang diperolehi untuk kepentingan diri, keluarga atau kroni tetapi untuk melonjakkan kecemerlangan dan kesejahteraan agama, bangsa  dan negara. Demi peri penting integriti kepada mahasiswa  pihak Pengurusan KUIS telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama SPRM sebagai ketelusan di dalam pentadbiran dan penekanan utama di dalam pendidikan kepada mahasiswa KUIS.

(15) Mahasiswa adalah jurubicara ummah yang merimbun dan mengakar dalam denyut nadi ummah. Dalam era globalisasi graduan harus mengorak langkah reformasi menjana perubahan dan memperkasa kembali kekuatan mahasiswa yang menjadi suara hati ummah dalam pembinaan sebuah negara yang aman makmur dan harmoni.

PARA GRADUAN YANG DIKASIHI,

(16) Sebagai Graduan dan Alumni KUIS yang akan menjadi duta dalam masyarakat diharapkan akan menjadi cerminan dan teladan kepada masyarakat. Saya juga mengharapkan Alumni KUIS dapat memberikan sokongan sebagai penyumbang tetap kepada dana wakaf KUIS dan pembayar zakat  yang dapat membantu pelajar asnaf yang sedang menuntut di KUIS serta menyokong dan membantu untuk KUIS menjadi sebuah universiti wakaf hasil daripada dana wakaf dan dana zakat. Perkara ini telah pun berjaya dilaksanakan di luar negara antaranya  negara Indonesia, Mesir dan  Turki.

(17) Apa yang saya harapkan ialah para graduan yang mampu untuk menyatakan sikap, berani mengambil risiko, mampu mengurus perbezaan, cekap membuat pilihan, memiliki ketenangan dalaman, berdaya saing, tidak mementingkan diri, bertindak dengan hikmah bukan emosi dan berperanan di dalam komuniti.

Saya percaya bahawa kita miliki banyak cara dan alternatif untuk bertindak. Apalah gunanya berterusan menyumpah kegelapan, tapi diri sendiri tak mampu menyalakan cahaya untuk menerangi persekitaran.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

(18) Dengan tulus ikhlas menadah tangan kepada Allah swt berdoa agar persaudaraan dan kasih sayang di antara warga KUIS  akan terus diperkasakan dan disuburkan bagi membentuk ummah yang terbaik, yang dapat menutup semua ruang perpecahan, persengketaan dan perbalahan serta dapat menjamin agenda kecemerlangan KUIS ke arah mencapai cita – cita menjadi sebuah Universiti Islam.

(19) Tahniah sekali lagi kepada semua graduan KUIS yang telah berjaya menamatkan pengajian.  Ijazah / diploma yang diterima pada hari ini adalah permulaan perjalanan kita yang lebih mencabar. Bersama kita  berdoakan semoga para graduan KUIS  akan berjaya di dalam bidang yang diceburi. Pesanan Saya buat para graduan yang dikasihi:

Jadilah Orang Yang Hidup Untuk Memberi Sebanyak-banyaknya dan Bukan Untuk Menerima Sebanyak-banyaknya.

"Hidup sentiasa berbakti, walaupun tidak dipuji..kerana hidup ini sentiasa diuji"

Tahniah dan Selamat Maju Jaya Buat Saudara Saudari dalam Menempuh Kehidupan Seterusnya

سيروا علي بركات لله

SEKIAN,

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…