PROFESOR DATO’ DR. AB HALIM BIN TAMURI
REKTOR
KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR

11 &12 Ogos 2018 (Sabtu & Ahad)

di Pusat Konvensyen KUIS

 

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسول الله وعلى ءاله وأصحابه أجمعين

 

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN DAN PARA GRADUAN YANG SAYA HORMATI.

Alhamdulillah, pada hari ini marilah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dapat mengadakan Majlis Konvokesyen kali ke-21. Majlis Konvokesyen ini diadakan untuk memberikan pengiktirafan kepada semua graduan yang telah berjaya setelah melalui berbagai cabaran dalam menuntut ilmu. Kejayaan ini merupakan satu detik manis yang kita sama-sama hargai dan merupakan kejayaan pelajar-pelajar dan keluarga mereka.

HADIRIN DAN HADIRAT YANG SAYA KASIHI,

Di kesempatan ini, izinkan saya mewakili seluruh warga KUIS merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Jutaan penghargaan dan terima kasih kepada para ibu bapa yang memilih KUIS sebagai destinasi anak-anak menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman. Tahniah kepada ibu bapa yang dapat hadir untuk meraikan hari bersejarah ini. Kepada semua tenaga akademik dan seluruh warga kerja KUIS, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kerana berusaha memastikan para graduan menjadi insan yang terdidik. Semoga dengan usaha ini mereka dapat mengisi ruang-ruang dakwah dan membangun ketamadunan ummah ke tahap yang terbaik.

TUAN-TUAN, PUAN-PUAN DAN PARA GRADUAN YANG SAYA HORMATI,

Alhamdulillah dengan izin Allah swt kini KUIS telah menjangkau usia yang ke 23 penubuhannya, dan sehingga kini KUIS telah melahirkan seramai 18,546 graduan dalam pelbagai disiplin ilmu. KUIS dengan matlamat penubuhannya sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang memenuhi tanggungjawab sosial dan ummah berusaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangun ummah. Hasrat untuk melahirkan Daie, Ulama Dan Umara’ merupakan cita-cita utama KUIS yang kita dokong bersama.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

Sebagai Peneraju Tradisi Ilmu, KUIS akan memastikan hala tuju pendidikan Islam melalui pembangunan kurikulum dan ko-kurikulum menjadi teras dalam menawarkan program-program yang memenuhi keperluan semasa (marketable) dan membawa perubahan pendidikan berasaskan syariat Islam. Pada masa ini terdapat lebih daripada 24 program pasca siswazah yang ditawarkan di KUIS iaitu 4 program pengajian di peringkat Doktor Falsafah dan 20 program pengajian di peringkat Sarjana.

Hasilnya, saya mewakili warga KUIS sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada dua (2) graduan sulung Ijazah Doktor Falsafah Islamiyyat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) iaitu Dr. Yaakob bin Hasan dan Dr. Ahmad Misbah bin Mohamad Hilmi. (Mohon graduan berdiri). Ini menjadi inspirasi kepada 25 pelajar Doktor Falsafah dan 43 orang pelajar Sarjana lain yang sedang melanjutkan pelajaran di KUIS.

Saya juga menyeru kepada graduan KUIS sama ada di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana untuk terus menyambung pengajian di KUIS sehinggalah anda tamat di peringkat Doktor Falsafah. Sokongan saudara saudari amatlah diharapkan demi melihat KUIS bakal mencapai hasratnya menjadi sebuah universiti Islam yang unggul di masa hadapan.

HADIRIN HADIRAT YANG DIKASIHI,

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIS dan kerajaan negeri Selangor yang sentiasa memberikan sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bagi kepada pihak KUIS demi melihat KUIS masyhur sebagai sebuah institusi pengajian Islam yang tersohor ketika menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor.

KUIS juga mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tuan Amiruddin Shari di atas pelantikan sebagai Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor. KUIS amat memerlukan sokongan daripada Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor serta masyarakat amnya agar hasrat sebagai sebuah Universiti akan dicapai.

PARA HADIRIN DAN HADIRAT YANG DIHORMATI,

Dengan kelahiran dua (2) orang graduan sulung PhD, dalam bidang PhD Islamiyyat membuktikan bahawa KUIS mampu melahirkan cendekiawan dalam bidang Doktor Falsafah, seiring dengan perkembangan semasa dunia Islam.

Dalam Kejohanan MUSLEH International Student Tradisional Archery Championship 2018 (MISTEC18) anjuran Ikram MUSLEH dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), KUIS telah memenangi tempat pertama, kedua dan tempat kesepuluh terbaik secara keseluruhan dalam kejohanan tersebut yang turut disertai peserta daripada Thailand dan Indonesia. Ini merupakan satu pencapaian besar dalam bidang kokurikulum yang seiring dengan kurikulum dimana program-program yang ditawarkan di KUIS menitikberatkan pencapaian dari segi rohani dan jasmani.

Pelajar KUIS juga telah menjuarai pertandingan Capture the Flag (CTF) Hacking Competition 2018 yang mana pelajar yang memasuki latihan industri terus diterima bekerja dalam bidang industri dengan syarikat-syarikat besar dan terkemuka di Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, perjanjian persefahaman MOU dengan IPT luar telah membuka era baru kepada KUIS dalam dunia akademik. Pertukaran pelajar dan pensyarah, penerbitan persidangan, penyelidikan dan perundingan akan dipergiatkan dengan IPT luar negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Turki dan Jepun.

KUIS juga mendapat sokongan daripada pihak swasta yang memberikan biasiswa kepada pelajar terpilih. Pihak Kumpulan Media Karangkraf telah menyediakan biasiswa sebanyak RM1 juta bagi membiayai pengajian di KUIS. Terkini Bank Rakyat telah menawarkan skim Biasiswa Penuh Zamalah Pascasiswazah untuk 3 pelajar PhD dalam bidang Pengajian Islam yang berjumlah RM415,450. Sumbangan zakat daripada pihak Etiqa Family Takaful, Bank Islam Malaysia Berhad, RHB Bank dan CIMB Bank juga sangat-sangat membantu pelajar-pelajar KUIS yang memerlukan sumber kewangan. Pihak KUIS amat mengalukan-alukan sebarang sokongan yang boleh disalurkan melalui Yayasan KUIS dan Bahagian Zakat, Wakaf & Infaq KUIS.

PARA GRADUAN YANG DIKASIHI

Graduan dan Alumni KUIS adalah duta penting dalam masyarakat yang boleh membantu membangunkan KUIS di masa hadapan. Saya menyeru semua Graduan dan Alumni KUIS menjadi sebagai penyumbang tetap kepada dana wakaf KUIS dan zakat KUIS. Ini dapat membantu pelajar-pelajar KUIS yang memerlukan bantuan. Harapan saya, usaha ini mempercepatkan hasrat KUIS mencapai impian sebagai Universiti Wakaf yang terulung di Negeri Selangor.

Tahniah sekali lagi kepada semua graduan KUIS yang telah berjaya menamatkan pengajian. Ijazah dan diploma yang diterima pada hari ini adalah permulaan perjalanan kita yang lebih mencabar. Semoga para graduan KUIS akan berjaya di dalam bidang yang diceburi.

Pesanan Saya buat para graduan yang dikasihi:

“Burung kenari di rumah tetamu,Mencari makanan di dahan angsana;
Bangsa dikenali kerana ilmu,Jadi cerminan seantero buana”.

“Pohon sena di tanah lanar, Akar keduduk disayat-sayat;
Ilmu laksana jamung bersinar, Memandu hidup sepanjang hayat“.

Tahniah dan Selamat Maju Jaya Buat Saudara Saudari dalam Menempuh Kehidupan seterusnya khususnya di alam pekerjaan.

SEKIAN,

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...